INTERNATIONAL
Saksi sahkan bekalan bantuan pertama sampai kepada penduduk Gaza

Pengarah Rangkaian NGO Palestin di Gaza, Amjad Shawa berkata tiada bantuan yang telah sampai ke utara Gaza, kawasan yang paling terjejas dan sangat memerlukan bantuan. - Foto Reuters
KAHERAH: Bantuan kemanusiaan pertama berjaya disalurkan ke Gaza selepas hampir tiga bulan sekatan Israel, di tengah amaran pertubuhan antarabangsa mengenai kebuluran kritikal, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Bantuan kemanusiaan tiba di Gaza: Selepas hampir tiga bulan sekatan oleh Israel, sebanyak 87 lori membawa makanan dan bekalan perubatan berjaya memasuki Gaza.
- Keperluan mendesak di utara Gaza: Walaupun bantuan telah sampai ke bahagian selatan seperti Deir al-Balah dan Khan Younis, NGO tempatan melaporkan bahawa tiada bekalan tiba di utara Gaza.
- Sekatan dan dakwaan kontroversi: Israel menarik balik sekatan tetapi menyatakan ia bertujuan menghalang Hamas daripada menyalahgunakan bekalan bantuan.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengesahkan ketibaan kira-kira 90 buah lori dan kandungan muatan bantuan berkenaan.
Beberapa pemilik kedai roti dan saksi memaklumkan bahawa sesetengah kedai roti di kawasan terbabit mula membakar roti menggunakan tepung yang diterima sejak awal pagi dan mengedarkannya kepada penduduk.
Bagaimanapun, petugas bantuan tempatan dan antarabangsa menegaskan bahawa jumlah bekalan yang tiba setakat ini hanyalah sebahagian kecil dan jauh daripada mencukupi.
Menurut maklumat terdahulu PBB, kira-kira 500 penghantaran bekalan diperlukan setiap hari bagi menampung keperluan kira-kira dua juta penduduk Palestin di Gaza.
Pengarah Rangkaian NGO Palestin di Gaza, Amjad Shawa berkata tiada bantuan yang telah sampai ke utara Gaza, kawasan yang paling terjejas dan sangat memerlukan bantuan.
Beliau berkata bahawa lori-lori yang tiba hanyalah sebahagian kecil daripada keperluan asas yang amat diperlukan.
Israel menarik balik sekatan hampir tiga bulan ke atas bantuan kemanusiaan pada Ahad, namun beberapa lori yang dibenarkan masuk ke kawasan terkepung itu masih tersadai berdekatan pintu sempadan selama beberapa hari kerana laluan yang dicadangkan terlalu berbahaya, menurut PBB.
Israel memberi alasan bahawa sekatan bertujuan menghalang kumpulan Palestin, Hamas daripada mencuri bekalan bantuan dan menjualnya di pasaran gelap bagi membiayai pejuang dan senjata.
Namun, PBB menegaskan bahawa Israel tidak mengemukakan sebarang bukti berhubung dakwaan itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami