Kumpulan sami dan polis saling tolak-menolak dan bergelut pada Isnin di Kuil Dhammakaya pada Isnin, susulan usaha pihak berkuasa untuk menahan ketuanya atas dakwaan pengubahan wang haram, lapor Reuters.

Suasana di mengepung rumah ibadat Buddha terbesar Thailand itu agak genting walau tiada kekerasan melampau, lantaran kumpulan sami tersebut sanggup menggunakan tubuh mereka sebagai perisai agar ruang utama kuil tidak dibolosi anggota keselamatan.

Perkembangan hari keempat di Dhammakaya dilihat sebagai cabaran terbesar pihak junta Thailand sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2014.

Polis berkata, mereka cuba mengelakkan tindakan keras namun menegaskan akan menahan sesiapa sahaja yang sengaja memenuhi kuil itu bagi menghalang tugas pihak berkuasa menahan ketua sami, Phra Dhammachayo, 72.

Setakat berita disiarkan, tiada kecederaan dilaporkan.

Operasi serbuan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kerajaan populis yang digulingkan junta pada 2014, termasuk dikatakan ia menerima dana daripada bekas perdana menteri yang juga seorang hartawan, Thaksin Shinawatra.

Kuil yang dikatakan memiliki jutaan pengikut tersebut juga dituduh menyebarkan konsep ajaran Buddha yang berbeza berbanding kuil tradisional lain.

Namun begitum dalam adat dan kepercayaan tempatan, perlakuan kasar terhadap sami adalah suatu perkara tabu.

“Kami akan lakukan sebaik mungkin untuk mengelakkan konfrontasi fizikal dan kekerasan. Serbuan akan diteruskan dan kami mengharapkan kuil akan berikan kerjasama.

“Penganut dan pengikut yang datang ke kuil buat masa ini diminta berpatah balik. Sesiapa yang mendekati kawasan ini buat masa ini akan ditahan kerana dianggap melanggar undang-undang,” ujar timbalan ketua polis dari Bahagian Siasatan Khas, Suriya Singhakamol.

Sementara itu, penyokong dan pengikut kuil tersebut terus melaungkan bantahan, termasuk menaikkan sepanduk yang tertulis: “Diktator Thailand cuba mencabul kemuliaan Buddhism.”