DUNIA
Sanggah laporan risikan, Trump bertegas dakwa tapak nuklear Iran ‘musnah sepenuhnya’

Serangan bom dan peluru berpandu pada 22 Jun lalu menyasarkan program nuklear kontroversi Iran, termasuk kemudahan pengayaan uranium di Fordow (selatan Tehran) serta tapak nuklear di Isfahan dan Natanz.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Sabtu (19 Julai) menegaskan, serangan udara Amerika ke atas kemudahan nuklear Iran telah “memusnahkan sepenuhnya” tapak-tapak tersebut, meskipun beberapa laporan media tempatan memetik maklumat perisikan yang bercanggah.
Menerusi platform Truth Social, Trump mengulangi dakwaannya bahawa “ketiga-tiga tapak nuklear Iran telah dimusnahkan sepenuhnya dan/atau dihapuskan.”
“Proses pemulihan akan mengambil masa bertahun-tahun dan jika Iran mahu membina semula, lebih baik mereka mulakan dari awal di tiga lokasi yang berbeza,” katanya.
Serangan bom dan peluru berpandu pada 22 Jun lalu menyasarkan program nuklear kontroversi Iran, termasuk kemudahan pengayaan uranium di Fordow (selatan Tehran) serta tapak nuklear di Isfahan dan Natanz.Serangan yang dijalankan secara serentak dengan kempen tentera Israel terhadap infrastruktur nuklear dan ketenteraan Iran itu digambarkan Washington sebagai satu tamparan hebat terhadap usaha rahsia bertahun-tahun Tehran untuk membangunkan senjata nuklear.
Namun, Iran bertegas, program nuklearnya hanya bertujuan untuk kegunaan awam dan bukan ketenteraan.
Laporan risikan dedah hanya satu tapak rosak teruk
Walaupun Trump mendakwa kejayaan total, beberapa laporan media AS termasuk NBC News melaporkan bahawa penilaian kerosakan ketenteraan menunjukkan hanya satu daripada tiga tapak yang mengalami kemusnahan besar.
Memetik lima pegawai semasa dan bekas pegawai AS yang mengetahui laporan penilaian itu, NBC berkata, dua lagi tapak dipercayai masih boleh dibaiki dan berpotensi untuk menyambung semula aktiviti pengayaan uranium dalam tempoh “beberapa bulan akan datang.”
Laporan itu turut mendedahkan, Pentagon sebenarnya telah menyediakan pilihan serangan yang jauh lebih besar dengan tempoh pelaksanaan selama beberapa minggu, namun pelan itu ditolak oleh Trump.
Sumber dalam laporan itu memaklumkan, Trump menolak serangan berskala besar tersebut kerana bimbang akan membawa kepada korban nyawa dan penglibatan berpanjangan dalam konflik serantau. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami