Satu daripada tiga kematian akibat kecederaan, keganasan di Eropah dikaitkan dengan alkohol

Amalan pengambilan minuman keras berlebihan secara episodik dikenal pasti sebagai faktor utama di sebalik kecederaan akibat kemalangan jalan raya, lemas, terjatuh dan perbuatan mencederakan diri dalam kalangan golongan muda. - Foto hiasan
ISTANBUL: Alkohol bertanggungjawab terhadap satu daripada tiga kematian akibat kecederaan dan keganasan di Wilayah Eropah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan awam, terutamanya semasa musim cuti apabila pengambilan alkohol lazimnya meningkat, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut helaian fakta baharu yang diterbitkan WHO Eropah berdasarkan data 2019, hampir 145,000 kematian berkaitan kecederaan di rantau itu berpunca daripada pengambilan alkohol, termasuk kecederaan sengaja kendiri, kecederaan akibat kemalangan jalan raya dan insiden terjatuh.
"Tiada bahan psikoaktif lain yang menyumbang begitu besar kepada kecederaan tidak sengaja mahupun yang disengajakan," menurut agensi itu, sambil memberi amaran bahawa alkohol kekal sebagai faktor risiko yang sangat berbahaya, khususnya kepada kalangan golongan muda.
WHO Eropah berkata rantau itu mencatatkan tahap penggunaan alkohol tertinggi di dunia, dengan alkohol menyumbang kepada kira-kira 800,000 kematian setiap tahun, bersamaan satu daripada setiap 11 kematian.
"Alkohol ialah bahan toksik yang menjejaskan pertimbangan, melambatkan tindak balas dan menggalakkan tingkah laku berisiko," kata Penasihat Serantau WHO Eropah bagi alkohol, dadah terlarang dan kesihatan penjara, Carina Ferreira-Borges, sambil menambah bahawa banyak kecederaan berkaitan alkohol sebenarnya boleh dicegah.
Laporan itu turut menekankan kaitan rapat antara alkohol dan keganasan, dengan lebih 40 peratus kematian akibat keganasan interpersonal dan lebih satu pertiga kematian akibat mencederakan diri sendiri pada 2019 dikaitkan dengan pengambilan alkohol.
Wanita dan kanak-kanak terjejas secara tidak seimbang, khususnya melalui keganasan pasangan intim.
WHO turut memaklumkan bahawa alkohol menimbulkan ancaman serius kepada golongan remaja dan belia dewasa, dengan amalan pengambilan minuman keras berlebihan secara episodik dikenal pasti sebagai faktor utama di sebalik kecederaan akibat kemalangan jalan raya, lemas, terjatuh dan perbuatan mencederakan diri dalam kalangan golongan muda.
Walaupun terdapat kemajuan dalam beberapa dekad kebelakangan ini, laporan itu menyatakan ketidaksamaan yang ketara masih berterusan di seluruh Eropah.
Negara-negara Eropah Timur mencatatkan kadar kematian akibat kecederaan berkaitan alkohol tertinggi, dengan alkohol dikaitkan dengan lebih separuh daripada semua kematian akibat kecederaan di beberapa negara, berbanding kurang 20 peratus di kebanyakan negara Eropah Barat dan Eropah Selatan.
WHO turut menggesa kerajaan untuk memperkukuh dasar kawalan alkohol, termasuk cukai yang lebih tinggi, larangan pemasaran yang lebih ketat, penguatkuasaan lebih tegas terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol serta memperluas saringan awal di pusat penjagaan kesihatan, sambil menegaskan langkah-langkah itu berpotensi mencegah puluhan ribu kematian pramatang setiap tahun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


