HOUSTON: Satu lagi set dokumen sulit ketika Presiden Joe Biden menyandang jawatan sebagai naib presiden Amerika Syarikat (AS) ditemukan di lokasi berbeza daripada lokasi set dokumen pertama ditemukan pada November.

Pembantu presiden menemukan sekurang-kurangnya satu lagi dokumen sulit di lokasi berbeza. Dokumen pertama ditemukan di pejabat Biden di Washington, D.C. pada 2 Nov, memetik sumber.

Agensi Anadolu melaporkan sumber itu juga mendedahkan bahawa pasukan Biden telah mencari sebarang dokumen sulit tambahan yang mungkin berada di lokasi lain.

Dokumen pertama ditemukan di ruang pejabat yang digunakan oleh Biden di Pusat Diplomasi dan Penglibatan Global Penn Biden Universiti Pennsylvania.

Peguam Biden menemukan dokumen itu di dalam almari berkunci ketika sedang mengemas untuk mengosongkan pejabat dan kemudian menyerahkannya kepada Pentadbiran Arkib dan Rekod Negara.

Set dokumen pertama itu mengandungi 10 dokumen antaranya mengenai memo perisikan AS dan bahan taklimat bertarikh antara 2013 dan 2016 berkaitan Ukraine, Iran dan United Kingdom.

Menurut sumber penguatkuasaan undang-undang, pejabat peguam di Chicago telah menyediakan laporan awal siasatan mengenai dokumen itu dan hasil siasatan sudah diserahkan kepada Peguam Negara Merrick Garland dan beliau akan memutuskan sama ada akan membuka kertas siasatan.

Rumah Putih mahupun Jabatan Kehakiman belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penemuan dokumen baharu itu.

-- BERNAMA