Polis Singapura telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kesan lebam dan bengkak pada telinga seorang kanak-kanak berusia tiga tahun selepas pulang dari tadika.

Ia susulan laporan polis yang dibuat ibu kanak-kanak terbabit selepas mendapati kesan lebam berkenaan ketika membawa pulang anaknya dari tadika itu pada 14 Februari lalu.

"Dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil anak saya dari tadika, suami saya mendapati telinga anak saya lebam dan bengkak di bahagian atas telinga.

"Selepas ditanyakan apa yang berlaku, anak saya terus menangis," tulis Claudia Kwan dalam kenyataan itu.

Dia turut berkata kesemua cikgu di tadika tersebut juga tidak dapat memberi penjelasan tentang perkara itu.

Pemeriksaan pakar kanak-kanak mendapati kesan lebam dan bengkak itu disebabkan oleh tindakan kekerasan yang disengajakan.

Siasatan awal polis mendapati seorang guru di tadika terbabit telah mencubit dan memulas telinga kanak-kanak itu.

Punca kejadian masih dalam siasatan.


Menurut Claudia lagi, anaknya trauma sejak kejadian dan sering terjaga ketika tidur sambil menangis: "Saya takut, saya minta maaf, tolong berhenti, sakit!"

Anaknya turut menyebut nama guru terbabit dan Claudia berkata perkara ini telah berlarutan selama beberapa minggu.

Tambahnya lagi, kesan lebam anaknya itu masih belum pulih sepenuhnya.