DUNIA
"Saya rasa saya wujud" - Kejayaan pelarian bina semula kehidupan dalam bayang-bayang krisis

Pemandangan dari atas Ukhiya Rohingya Camp-Cox's Bazar. - Foto/ IFRC
WALAUPUN Hari Pelarian Sedunia pada 20 Jun telah berlalu, kita harus terus mengingati dan berdiri bersama penduduk kem di Cox’s Bazar, Bangladesh- kekuatan mereka, ketabahan mereka, dan keperluan mendesak untuk kita semua berdiri dalam solidariti bersama mereka.
Ini adalah terjemahan daripada artikel bahasa Inggeris oleh Abu Taleb Md Saqib, Pegawai Perhubungan Kanan International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC), Cox’s Bazar.
"Saya tidak pernah terfikir, pada usia ini, saya akan belajar sesuatu yang baharu dan memperoleh pendapatan semula," kata Sokina, 58 tahun, seorang wanita Rohingya yang duduk di luar khemahnya, diperbuat daripada buluh dan tarpaulin, atau kain terpal, di kawasan seluas 15X10 kaki persegi, di salah satu kem di Ukhiya, Cox's Bazar.
Dengan jari yang menggeletar tetapi yakin, Sokina menganyam jaring ikan; kemahiran yang dipelajarinya baru-baru ini melalui program latihan kemahiran hidup oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh (Bangladesh Red Crescent Society- BDRCS) dengan sokongan daripada Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies- IFRC). Dia secara proaktif menjual jaring ikan yang dihasilkannya di pasar basah di dalam kem.Bagi Sokina dan ramai yang lain sepertinya, kehidupan berubah apabila mereka terpaksa meninggalkan rumah mereka di Myanmar dan mula tinggal di kem Cox’s Bazar, kem yang telah wujud sejak 2017. Kehilangan mata pencarian dan rumah mereka menjerumuskan mereka ke dalam keputusasaan dan menyebabkan mereka menghadapi masa depan yang tidak menentu. Tetapi perlahan-lahan, dengan sokongan berterusan daripada agensi kerajaan dan organisasi kemanusiaan, mereka mula membina semula kehidupan mereka - dengan maruah, kemahiran dan harapan.

Sokina menganyam jaring ikan; kemahiran yang dipelajarinya baru-baru ini. - Gambar BDRCS/ IFRC
Kemahiran Yang Memupuk Rezeki dan Maruah
Melalui program latihan vokasional yang berbeza, kedua-dua golongan lelaki dan wanita di kem itu kini mempelajari kemahiran menjana pendapatan termasuk membuat jaring ikan, menjahit, latihan gunting rambut, menanam sayur-sayuran, latihan tukang paip dan penternakan ayam skala kecil. Inisiatif ini mengajar kemahiran praktikal dan membantu meningkatkan keyakinan dan memulihkan nilai diri di kalangan penduduk kem.
Rahima, seorang ibu berusia 28 tahun yang baru menamatkan kursus jahitannya berkata: "Sekarang saya boleh menampung keperluan anak-anak saya dengan memperoleh sedikit wang. Apabila saya kembali ke Myanmar, kemahiran ini akan membantu saya," katanya.
Dia kini memperoleh pendapatan sederhana dengan menjahit pakaian untuk penghuni kem lain.
Bagi golongan lelaki, bersama-sama latihan membuat jaring ikan, latihan gunting rambut, dan latihan tukang paip semakin menjadi popular, menarik minat ramai. Selepas latihan, ramai yang mula menjual jaring ikan di kem.
"Apabila saya memperoleh pendapatan, saya rasa seperti saya wujud," kata Jahid, 25 tahun dari Kem 11.
"Dulu saya hanya duduk di kem tanpa berbuat apa-apa—kini hidup saya berasa lebih bermaruah."
Ruang Selamat untuk Semua
Pusat Maruah, Ruang, Penyertaan dan Akses (Dignity, Space, Participation, and Access- DAPS) telah menjadi nadi komuniti di kem tersebut. Pusat-pusat tersebut direka bentuk untuk menjadi inklusif dan boleh diakses oleh semua orang, termasuk mereka yang kurang upaya dan golongan tua. Di sini, ahli komuniti kem berkumpul untuk belajar, berkongsi dan menenangkan hati mereka.
Pusat-pusat ini juga berfungsi sebagai platform untuk semua bersuara. Orang ramai boleh membuat aduan, memberikan maklum balas tentang perkhidmatan dan mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan mengenai bantuan yang mereka terima.
"Tidak pernah terfikir kami akan mempunyai tempat di mana pendapat kami penting," kata Jomila Begum, seorang sukarelawan wanita di pusat itu.
"Sebelum ini, keputusan dibuat tentang kami, tanpa penyertaan kami. Sekarang, kami rasa didengari."
Kesedaran tentang keganasan berasaskan jantina, sesi mengenai antipemerdagangan, latihan kemahiran hidup, sokongan psikososial dan sesi mengenai hak dan tanggungjawab sentiasa diadakan di pusat-pusat ini. Ia adalah ruang selamat di mana orang ramai terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak perempuan boleh berasa dilindungi, dan membolehkan mereka menyuarakan kebimbangan mereka dan mendapatkan bantuan apabila perlu.
Khemah Tahan Bencana
Memandangkan kem di Cox’s Bazar menghadapi risiko pelbagai bencana — termasuk tanah runtuh, ribut, banjir, hujan lebat, kilat dan kebakaran — agensi kerajaan dan organisasi kemanusiaan seperti IFRC telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kesiapsiagaan bencana. Mereka telah menyokong pembinaan khemah yang berdaya tahan, menyediakan peralatan keselamatan yang penting dan melatih komuniti kem untuk lebih bersedia menghadapi sebarang bencana.
"Sebelum ini, kami selalu panik apabila mendengar datangnya ribut. Sekarang kami tahu apa yang perlu dilakukan," kata Jubayer, seorang sukarelawan daripada komuniti kem semasa respons kecemasan.
Mengapa Ia Harus Diterus
Kerja kemanusiaan melangkaui menangani keperluan jangka pendek - ia juga mengenai memulihkan maruah, meningkatkan daya tahan dan membina asas untuk pembangunan jangka panjang. Lebih penting lagi, ia adalah mengenai memberikan satu harapan.
Bagi mereka yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan di kem Cox's Bazar, bantuan-bantuan seperti tempat tinggal, penjagaan kesihatan, air bersih dan kebersihan, latihan kemahiran hidup, dan kesediaan menghadapi bencana merupakan talian hayat yang penting.
Semasa lawatan ke Cox’s Bazar baru-baru ini, Pengarah Serantau IFRC untuk Asia Pasifik, Alexander Matheou, menekankan fokus kerja Palang Merah dan Bulan Sabit Merah: "Kerja kami adalah tentang melindungi maruah, menyediakan keselamatan, dan memberikan asas untuk harapan dalam masa jangka panjang," katanya.
"Mungkin suatu hari nanti saya boleh pulang... kami tidak kehilangan harapan. Dengan sedikit bantuan — dengan mempelajari kemahiran baharu — kami boleh membina semula kehidupan kami apabila kami pulang nanti," kata Sokina.
Dunia tidak seharusnya mengabaikan rayuan ikhlas ini yang cuma inginkan satu harapan untuk masa depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami