Skip to main content

Dunia

"Saya suka inflasi," kata Trump ketika rakyat AS berdepan kenaikan harga barangan

President Donald Trump speaks in the Oval Office of the White House, Wednesday, June 10, 2026, in Washington. (AP Photo/Julia Demaree Nikhinson)
Ketika bercakap di White House, pada Rabu Trump berkata: “Saya sukakannya. Angka ini sangat baik. Anda tahu apa yang saya benar-benar suka? Saya suka inflasi.” - Gambar AP

WASHINGTON: Trump dakwa ‘suka inflasi’ ketika harga di AS melonjak paling pantas dalam tiga tahun
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan beliau “suka inflasi” ketika kadar kenaikan harga di negara itu pada Mei mencatat peningkatan terpantas dalam tempoh tiga tahun.

Trump berkata, angka tersebut “sangat baik” ketika diminta mengulas data Biro Statistik Buruh (BLS) yang menunjukkan harga meningkat 4.2 peratus pada Mei berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kadar itu meningkat daripada 3.8 peratus pada April, dipacu terutamanya oleh kenaikan kos tenaga susulan konflik melibatkan AS dan Israel dengan Iran.

Ketika bercakap di White House, pada Rabu Trump berkata: “Saya sukakannya. Angka ini sangat baik. Anda tahu apa yang saya benar-benar suka? Saya suka inflasi.”

Presiden itu turut mendakwa, pasukan AS telah melaksanakan operasi waktu malam yang menyaksikan puluhan kapal mengangkut jutaan tong minyak dari Iran, sekali gus menyumbang kepada sedikit penurunan harga minyak. 

Namun, penanda aras minyak global, Brent mentah, masih didagangkan jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum konflik.

Data pada Rabu menunjukkan Indeks Harga Pengguna (CPI) AS meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut, dengan isi rumah semakin merasai tekanan akibat konflik AS dan Israel dengan Iran.

Trump sebelum ini berkata inflasi hanya meningkat secara sementara dan menjangkakan ia akan kembali reda sebaik konflik berakhir.

Peningkatan inflasi turut meningkatkan kebarangkalian Rizab Persekutuan (Fed) menaikkan kadar faedah bagi mengekang perbelanjaan.

Kali terakhir inflasi lebih tinggi adalah pada April 2023, ketika AS berdepan kesan kejutan tenaga susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Secara keseluruhan, bil tenaga termasuk gas dan elektrik meningkat hampir suku kepada lebih tinggi pada Mei berbanding setahun lalu, dengan petrol menjadi penyumbang utama kenaikan tersebut.

Menurut data berasingan Persatuan Automobil Amerika (AAA), harga purata petrol biasa di AS kini mencecah AS$4.15 bagi segelen, meningkat ketara daripada AS$2.98 pada 28 Februari, iaitu ketika Trump melancarkan serangan ke atas Iran.

Sebagai tindak balas, Iran dilaporkan menutup laluan strategik Selat Hormuz yang biasanya menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia, sekali gus mencetuskan lonjakan harga.

Selain itu, BLS turut melaporkan peningkatan kos tiket penerbangan, penjagaan kesihatan, rekreasi dan perkhidmatan komunikasi.

CPI merupakan ukuran perubahan harga bagi tempoh bulanan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

Sasaran jangka panjang inflasi Fed adalah pada kadar dua peratus.

Kenaikan inflasi pada Mei ini menonjolkan cabaran yang dihadapi Trump dan Parti Republikan menjelang pilihan raya separuh penggal pada November.

Pakar ekonomi memberi amaran bahawa walaupun konflik diselesaikan dengan segera, aliran normal perdagangan melalui Selat Hormuz mungkin hanya pulih sepenuhnya menjelang 2027.

Situasi itu mencetuskan kebimbangan pengundi di AS akan berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi, selepas Trump sebelum ini berjanji untuk menurunkan inflasi sebagai agenda utama pentadbirannya.

Trump turut menyatakan, beliau tidak terlalu memikirkan kos sara hidup rakyat AS dalam konteks konflik tersebut, sambil menegaskan keutamaan adalah untuk menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.

Beliau sekali lagi berjanji inflasi akan “jatuh merudum” selepas konflik dengan Iran tamat.

“Apabila konflik ini berakhir… anda akan melihat harga minyak kembali ke paras sebelum ini,” katanya kepada wartawan di White House. 

Trump turut merujuk lawatan ke Iowa pada awal 2026, di mana beliau mendakwa melihat petrol dijual pada harga AS$1.85 segelen, sambil menambah “kita akan kembali ke paras itu tidak lama lagi.”

Inflasi yang meningkat juga memberi cabaran kepada Gabenor baharu Fed, Kevin Warsh, menjelang keputusan kadar faedah pertamanya minggu depan.

Apabila inflasi melebihi sasaran Fed, Bank Pusat lazimnya akan menaikkan kadar faedah, yang seterusnya meningkatkan kos pinjaman dan memperlahankan aliran wang dalam ekonomi, sekali gus mengekang kenaikan harga.

Menjelang pelantikan Warsh, Trump berulang kali menggesa penggantinya, Jerome Powell dan Bank Pusat untuk menurunkan kadar faedah.

Pakar ekonomi menjangkakan kadar faedah kekal pada paras semasa antara 3.5 hingga 3.75 peratus bulan depan, namun memberi amaran bahawa tekanan inflasi berterusan boleh memaksa Fed menaikkan kadar.

Ketua ekonomi Amerika Utara di Capital Economics, Stephen Brown berkata, kenaikan pada Mei sahaja “tidak cukup besar” untuk membuktikan keperluan menaikkan kadar faedah kepada ahli jawatankuasa penetapan kadar Fed.

Sementara itu, pengurus pelaburan Wealth Club, Isaac Stell berpendapat, kenaikan kadar faedah adalah “kesimpulan paling logik” berdasarkan data terkini serta laporan pasaran pekerjaan yang kukuh minggu lalu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement