DUNIA
Scotland pertimbang boikot Israel secara rasmi

Jurucakap Kerajaan Scotland mengesahkan bahawa para menteri Kabinet akan "mempertimbangkan" cadangan memboikot Israel secara rasmi.
LONDON: Kerajaan Scotland sedang mempertimbangkan cadangan untuk memboikot Israel secara rasmi susulan gesaan oleh pemimpin bersama Parti Hijau Ross Greer, kepada Menteri Pertama John Swinney supaya menerima pakai prinsip Gerakan Boikot, Nyahlabur dan Sekatan (BDS), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Kerajaan Scotland sedang mempertimbangkan cadangan Parti Hijau untuk memboikot Israel melalui prinsip BDS, termasuk garis panduan rasmi, pemotongan dana kepada firma senjata, dan kuasa pihak berkuasa tempatan memulaukan syarikat yang terlibat dalam pendudukan Palestin.
- Cadangan turut merangkumi pindaan undang-undang bagi membolehkan pemulauan atas alasan politik, menghentikan pembiayaan kepada syarikat bersubahat dengan Israel, menarik pelaburan dana pencen, dan mengenakan denda kepada syarikat terlibat.
- Kerajaan Scotland menegaskan sokongan kepada gencatan senjata, pembebasan tawanan, bantuan kemanusiaan ke Gaza, serta mendesak pengiktirafan Palestin sebagai negara berdaulat dalam penyelesaian dua negara.
Gerakan BDS bertujuan mengenakan tekanan ekonomi dan politik ke atas Israel, sama seperti boikot antarabangsa terhadap apartheid Afrika Selatan pada era lampau. Usaha ini menyasarkan syarikat yang terlibat dalam pendudukan, perdagangan senjata, dan aktiviti penempatan Israel.
Dalam surat kepada Swinney, Greer menyeru kerajaan supaya mengeluarkan garis panduan rasmi kepada syarikat Scotland bagi menamatkan perdagangan dengan Israel, sepertimana langkah yang diambil terhadap Rusia pada 2022 selepas bermulanya perang di Ukraine.
Beliau juga menggesa kerajaan untuk memansuhkan sebahagian Akta Kerajaan Tempatan UK 1988 yang kini menyekat pihak berkuasa tempatan daripada menolak syarikat berdasarkan kriteria politik.
Selain itu, Greer mencadangkan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Pembinaan Kekayaan Komuniti untuk membolehkan pihak berkuasa tempatan memulaukan syarikat yang terlibat dalam "pendudukan haram wilayah Palestin."
Beliau turut menggesa agar pembiayaan awam kepada syarikat senjata yang telah membekalkan kelengkapan kepada Israel "semasa genosid" dihentikan, dan agar kerajaan memutuskan hubungan dengan "semua syarikat lain yang secara langsung bersubahat dengan pendudukan."
Dana pencen juga harus digalakkan untuk menarik pelaburan daripada syarikat yang "bersubahat dengan rejim apartheid Israel," serta mengenakan denda kewangan terhadap syarikat sedemikian, katanya.
"Jenayah kemanusiaan terburuk pada zaman ini sedang dilakukan terhadap rakyat Palestin di depan mata kita. Scotland mempunyai tanggungjawab moral untuk bertindak. Pendekatan yang sama pernah membantu menamatkan apartheid di Afrika Selatan. Kini kita harus menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin," katanya.
Jurucakap Kerajaan Scotland dalam reaksinya berkata: "Kerajaan Scotland telah berulang kali menyeru agar gencatan senjata segera dan berkekalan dilaksanakan, pembebasan semua tawanan tanpa syarat dan peningkatan segera bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Kerajaan Scotland akan terus mendesak Kerajaan UK untuk mengiktiraf negara Palestin yang berdaulat sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara demi keamanan berkekalan di rantau itu. Para menteri akan mempertimbangkan dan memberi maklum balas terhadap surat Greer."
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami