RAMALLAH : Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini mengeluarkan amaran keras bahawa sejarah akan menghukum masyarakat dunia jika gencatan senjata tidak dilaksanakan di Gaza.

Dalam kenyataan akhbar, Lazzarini menekankan pentingnya orang ramai dilindungi tanpa mengira lokasi mereka, dan menunjukkan situasi krisis kemanusiaan yang teruk di Semenanjung Gaza sejak dua minggu lepas, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

"Kini hampir dua minggu imej tragedi manusia yang menyayat hati berlaku di Gaza. Wanita, kanak-kanak dan warga tua terbunuh, hospital dan sekolah dibom - tiada siapa yang terselamat," kata Lazzarini.

Beliau berkata UNRWA turut kehilangan 35 petugasnya, kebanyakannya terbunuh semasa berada di rumah bersama keluarga mereka.

Lazzarini berkata tentera pendudukan Israel memberi amaran kepada rakyat Palestin di Gaza supaya berpindah ke bahagian selatan Semenanjung Gaza ketika ia mengebom utara, namun serangan berterusan masih berlaku di selatan sehinggakan tiada tempat selamat lagi di Gaza.

Beliau berkata 2.2 juta rakyat Palestin terperangkap dalam lingkungan 365 kilometer persegi yang diibaratkan sebagai penjara terbuka yang besar sejak 15 tahun lalu dengan kawalan dan sekatan udara, laut dan darat yang mengehadkan pergerakan penduduknya.

Menurut beliau, walaupun rundingan peringkat tertinggi dilakukan baru-baru ini bagi membenarkan bekalan kemanusiaan dibawa masuk ke Gaza, usaha itu tidak mencukupi untuk manangani krisis kemanusiaan yang sangat teruk ini.

Beliau berkata bekalan mendesak seperti bahan api, dinafikan kepada Gaza, dan tanpa bahan api, bantuan kemanusiaan tidak dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan, selain tiada bekalan elektrik untuk hospital, air bersih, dan makanan penduduk.

-- BERNAMA