MEMANG luar biasa! Kumpulan ikonik k-pop, BTS sekali lagi melakar sejarah dengan menjadi artis Korea pertama yang menjejakkan kaki di Stadium Wembley bagi membuat persembahan konsert.

Bukan sekadar menjadi artis Korea pertama untuk beraksi di stadium itu, bahkan mereka juga mencatat rekod sebagai antara artis yang berjaya menghabiskan jualan tiket sebelum persembahan lagi dan itu adalah satu pencapaian besar dan jika tidak kerana Army, siapa lagi yang mampu mencipta rekod itu?

Siapa sahaja yang tidak pernah dengar nama Stadium Wembley?

Jika ingin dibandingkan dengan sebelum ini, stadium yang bersejarah itu telah menjadi gelanggang bagi penyanyi Hollywood yang hebat seperti Beyonce, Michael Jackson dan Queen juga pernah menggegarkan stadium ikonik yang berada di tengah-tengah kota London itu.

Diberi gelaran “The Beatles Abad ke-21”, kumpulan yang terdiri daripada Jin, Jimin, J-Hope, Jungkook, Suga, RM dan V itu telah membuktikan bahawa peminat yang hadir dari seluruh dunia itu juga menyanyikan lagu Bahasa Korea itu bersama.

Lebih daripada 120,000 penonton yang terdiri daripada BTS Army bersorka kegembiraan selama dua hari konsert jelajah “Love Yourself: Speak Yourself” yang bukan sahaja mengumpulkan rakyat England malah peminat dari Itali, Sepanyol, Portugal dan Jerman turut membanjiri stadium itu.

Bahasa bukan menjadi penghalang untuk mereka berkomunikasi bersama peminat, RM sempat memberikan ucapannya dengan loghat British "It's a beautiful night. Welcome to our concert."

seokjin doing the freddie mercury crowd bit with armys bc he watched bohemian rhapsody HES SO LOVELY pic.twitter.com/PYn0bLxGQ9

— by jin d-2 (@780613) June 1, 2019

Jin juga tidak terlepas untuk meraikan saat bersejarah itu dengan meniru gaya penyanyi kumpulan Queen, Freddie Mecury dengan bersorak “Ey Oh” seperti mana yang dilakukan Freddie sewaktu pembukaan konsert itu pada 1985.

Menurut Suga: “Akhirnya kami tiba di stadium Wembley, sebelum ini saya hanya melihat ia dari televisyen. London sememangnya menakjubkan, saya harap anda semua tidak melupakan hari ini.”

Selepas persembahan konsert selama lebih dua jam, BTS memberitahu media mengenai hasrat mereka untuk bekerjasama dengan band British, terutama Coldplay dan Paul McCartney pada masa depan.

Kumpulan termasyhur Korea ini akan beralih ke destinasi konsert jelajah dunia “Love yourself: Speak Yourself” seterusnya di Stade de France di Saint Denis, di Perancis.