Kira-kira 100 buah kapal terbang yang ada kaitan dengan Rusia telah disekat oleh kerajaan Amerika Syarikat, termasuk sebuah pesawat taikun dan pemilik Chelsea Football Club, Roman Abramovich.

Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (United States Department of Commerce) dalam satu kenyataan berkata, pesawat itu dilaporkan telah melanggar sekatan dikenakan AS terhadap Rusia.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak yang menyediakan perkhidmatan kepada pesawat itu di mana-mana sahaja di dunia - termasuk di dalam Rusia - boleh membawa kepada denda yang berat dan kemungkinan dipenjara.

Sekatan itu juga dikenakan terhadap pesawat yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Rusia termasuk Aeroflot.

Dalam sekatan itu, kebanyakannya adalah pesawat Boeing namun pesawat peribadi Gulfstream - milik Abramovich - dilaporkan turut tersenarai.

Abramovich merupakan antara tujuh jutawan yang dikenakan sekatan daripada kerajaan United Kingdom awal bulan ini susulan konflik Rusia dengan Ukraine.

Dalam pada itu, jabatan itu berkata, sebarang kerja mengisi minyak, penyelenggaraan atau pembaikan mana-mana pesawat tersenarai - serta penyediaan alat ganti - melanggar kawalan eksport AS.

Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo berkata, langkah itu adalah sebagai tindak balas kepada "perang kejam Rusia terhadap Ukraine".

"Kami mengeluarkan senarai ini untuk memberi perhatian kepada dunia - kami tidak akan membenarkan syarikat dan oligarki Rusia dan Belarus melakukan perjalanan tanpa hukuman yang melanggar undang-undang kami."

Jabatan itu turut berkata, mereka yang melanggar sekatan itu akan berdepan "masa penjara yang besar, denda, kehilangan keistimewaan eksport, atau sekatan lain".

Peraturan itu terpakai kepada mana-mana pesawat yang mempunyai lebih daripada 25 peratus bahan asal daripada AS yang telah dieksport semula ke Rusia selepas kawalan baharu berkuat kuasa pada 24 Februari, hari Rusia menyerang Ukraine.