LONDON: Sekatan media sosial ke atas kanak-kanak berumur bawah 16 tahun bukanlah "pendekatan yang tepat" dan boleh mendorong golongan itu ke arah sudut internet yang lebih berbahaya dan tanpa pengawasan, ketua Google di United Kingdom (UK) memberi amaran, lapor PA Media/dpa.
Pengarah Urusan dan Naib Presiden Google UK dan Ireland Kate Alessi memberitahu Press Association, syarikat teknologi gergasi yang memiliki YouTube tidak menyokong "larangan menyeluruh” susulan kerajaan UK berdepan peningkatan gesaan untuk menghalang kanak-kanak mendapatkan akses kepada media sosial.
Advertisement
Perdana Menteri UK Keir Starmer memberi isyarat pada hujung minggu bahawa beliau bersedia untuk mengambil tindakan bagi membendung ciri-ciri yang menyebabkan golongan muda ketagih dengan media sosial, dan kerajaan sedang berunding mengenai melarang terus (media sosial) untuk kanak-kanak bawah 16 tahun.
Kes mahkamah yang menarik perhatian di Amerika Syarikat minggu lepas menyaksikan pemilik Facebook Meta dan Google didapati bertanggungjawab ke atas ketagihan media sosial pada zaman kanak-kanak seorang wanita, menerusi reka bentuk produk berciri ketagihan secara sengaja.
Kedua-dua syarikat berkenaan diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak AS$6 juta antara mereka.
Alessi berkata Google tidak bersetuju dengan keputusan itu dan merancang untuk merayu.
Beliau berkata larangan media sosial bukanlah jawapan kepada kesejahteraan dalam talian kanak-kanak dan memberi amaran jika negara seperti UK mengikut Australia, negara pertama memperkenalkan larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun pada Disember, ia boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini.
Alessi memberitahu PA: "Kami tidak percaya itu pendekatan yang betul.
"Kami percaya larangan menyeluruh merampas pilihan daripada ibu bapa dan menjauhkan anak-anak daripada ruang yang diawasi."
Tetapi beliau berkata adalah penting "pengadang yang sesuai" disediakan, dengan YouTube baru-baru ini memperkenalkan fungsi untuk membantu mencegah tingkah laku ketagihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, seperti penetap masa untuk video pendek (Shorts), serta fungsi "Waktu Tidur" dan "Berehat".
"Kami mahu memastikan produk kami dibina dengan selamat," kata Alessi.
"Kami akan bekerjasama dengan kerajaan dan terus bersama mereka ketika usaha ini dijalankan,” tambahnya.
Ulasan Alessi dibuat selepas Google mengumumkan program komuniti terbaharunya untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kecerdasan buatan (AI) bagi membantu rakyat Britain memajukan diri secara profesional.
-- BERNAMA-PA Media/dpa