COLOMBO: Sekolah-sekolah di Sri Lanka mula ditutup manakala perkhidmatan kurang penting di pejabat kerajaan juga dihentikan operasi pada Isnin, sebagai jalan akhir menjimatkan rizab bahan api negara itu yang semakin menyusut.

AFP melaporkan, penutupan itu akan berlangsung sekurang-kurangnya selama dua minggu, sementara pasukan pentadbiran Colombo berusaha mengadakan rundingan penyelamatan dengan pihak Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Negara berpopulasi 22 juta orang itu dalam krisis ekonomi paling dahsyat setelah kehabisan dolar untuk menampung pembayaran pelbagai barangan import penting, termasuk bahan api.

Dengan rekod inflasi tertinggi dan kejadian bekalan elektrik yang terputus lama, sebahagian besar rakyatnya terus menjalankan siri protes jalanan yang kebanyakannya berakhir dengan keganasan.

Pada Isnin, sekolah-sekolah ditutup dan pejabat negeri hanya dibuka bagi jabatan penting, semata-mata untuk mengurangkan pergerakan rakyatnya sekali gus menyelamatkan rizab petrol dan diesel.

Hospital dan pelabuhan utama di Colombo bagaimanapun masih berfungsi.

Ratusan ribu pengguna jalan raya masih tersadai di jalan raya untuk menunggu peluang mengisi petrol dan diesel, meskipun kementerian tenaga mengumumkan bahawa bekalan bahan api itu hanya boleh didapatkan dalam masa tiga hari lagi.

Sri Lanka menanggung hutang luar negara sejumlah AS$51 bilion pada April lalu dan kini pihak kerajaan masih menunggu hasil rundingan dengan IMF yang dijangka berlarutan sehingga 10 hari ke hadapan.

Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe juga dijadualkan untuk bertemu dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Australia, Clare O’Neil untuk ‘mengeratkan kerjasama dan membantu Sri Lanka menghadapi fasa ekonomi sukar’.