KINSHASA: Sekurang-kurangnya 100 orang dilaporkan maut dalam wabak Ebola yang melanda Republik Demokratik Congo (DR Congo), dengan lebih 390 kes disyaki setakat ini, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC).
Ketua Pengarah Africa CDC, Jean Kaseya, berkata wabak berkenaan membimbangkan berikutan ketiadaan vaksin dan rawatan khusus bagi strain virus yang sedang menular.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengisytiharkan wabak ini sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Antarabangsa, susulan risiko penularan merentasi sempadan dan peningkatan kes dalam tempoh singkat.
Wabak itu disebabkan oleh virus Ebola jenis Bundibugyo, strain jarang berlaku yang belum mempunyai vaksin atau ubat yang diluluskan.
Selain DR Congo, Uganda melaporkan dua kes disahkan termasuk satu kematian yang dikaitkan dengan jangkitan dari negara jiran itu.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang doktor warga Amerika Syarikat di DR Congo disahkan dijangkiti dan akan dipindahkan ke Jerman untuk rawatan lanjut.
Media antarabangsa turut melaporkan sekurang-kurangnya enam rakyat Amerika Syarikat (AS) telah terdedah kepada virus berkenaan, namun status jangkitan mereka masih belum dipastikan.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) memaklumkan risiko penularan ke negara itu masih rendah, tetapi langkah berjaga-jaga termasuk pemantauan pengembara dari kawasan terjejas sedang dipertingkatkan.
WHO memberi amaran bahawa wabak ini berpotensi menjadi lebih besar daripada yang dilaporkan, dengan risiko penularan ke negara jiran jika kawalan tidak diperketat.
Sehubungan itu, agensi kesihatan global menggesa negara terlibat dan jiran untuk meningkatkan saringan sempadan, pengesanan kontak serta kesiapsiagaan sistem kesihatan bagi mengekang penularan virus maut itu.