WELLINGTON: Sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang anggota bomba maut selepas cuaca buruk melanda New Zealand, menurut polis pada Rabu.

Siklon Gabrielle mengakibatkan gangguan bekalan elektrik, kerosakan harta dan pemindahan penduduknya di Pulau Utara negara itu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Agensi Bomba dan Kecemasan menemukan satu mayat yang dipercayai milik anggotanya dalam kejadian tanah runtuh di Muriwai, pada Rabu.

Anggota bomba itu dilaporkan hilang sejak malam Isnin.

Tiga lagi mayat termasuk seorang wanita dijumpai di wilayah Hawke's Bay dalam kejadian berasingan.

Menteri Pengurusan Kecemasan Kieran McAnulty memberi amaran jumlah kematian mungkin meningkat.

Beberapa bandar masih terputus hubungan akibat banjir dan tanah runtuh.

McAnulty berkata kira-kira 10,500 orang hilang tempat tinggal akibat ribut itu, manakala 144,000 pengguna menghadapi gangguan bekalan elektrik.

--BERNAMA