DUNIA
Sekutu Thatcher, Norman Tebbit meninggal dunia pada usia 94 tahun

Tokoh bangsawan Parti Konservatif itu adalah antara sekutu politik paling rapat kepada bekas Perdana Menteri Margaret Thatcher. - Reuters
LONDON: Bekas menteri Kabinet Britain, Norman Tebbit meninggal dunia pada usia 94 tahun, menurut anaknya, lapor PA Media/dpa pada Selasa.
Tokoh bangsawan Parti Konservatif itu adalah antara sekutu politik paling rapat kepada bekas Perdana Menteri Margaret Thatcher dan berperanan penting dalam politik sepanjang satu generasi.
Sebagai Setiausaha Pekerjaan, beliau bertegas terhadap kesatuan sekerja dan sebagai Pengerusi Parti Konservatif dari 1985 hingga 1987, beliau membantu Thatcher mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum ketiganya.
Tebbit cedera parah dalam pengeboman Brighton pada 1984, yang menyebabkan isterinya, Margaret, lumpuh dari leher ke bawah.Anaknya William berkata ayahnya meninggal dunia "dengan tenang di rumah" lewat Isnin malam.
Ketua Parti Konservatif, Kemi Badenoch berkata: "Norman Tebbit adalah ikon dalam politik Britain dan pemergiannya akan dirasai di seluruh spektrum politik."
"Beliau antara tokoh utama falsafah yang kini dikenali sebagai Thatcherisme dan khidmatnya yang tidak berbelah bahagi demi memperbaiki negara patut dijadikan inspirasi kepada semua ahli Konservatif."
Beliau turut berkata "ketabahan dan keberanian" yang ditunjukkan Tebbit selepas pengeboman Brighton, serta penjagaan terhadap isterinya, adalah bukti yang beliau "pada asasnya seorang lelaki yang mementingkan keluarga dan sentiasa berpegang pada prinsip."
Badenoch berkata: "Beliau tidak pernah tunduk pada tekanan dan tidak pernah berkompromi."
Tebbit figura terkenal era Thatcher dengan reputasi sebagai pejuang politik yang tidak gentar berdepan konflik, berperanan utama dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan sosial yang mencorakkan era 1980-an.
Selepas rusuhan bandar di Handsworth, Birmingham dan Brixton, selatan London pada tahun 1981, beliau mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan beliau digelar "Onyerbike" oleh pengkritik yang menganggapnya simbol ketidakpedulian Konservatif terhadap pengangguran.
Menolak tanggapan yang keganasan jalanan adalah reaksi semula jadi terhadap pengangguran, beliau berkata: "Saya dibesarkan pada tahun 30-an dengan ayah yang menganggur. Dia tidak merusuh. Dia naik basikal cari kerja dan terus cari sampai dapat."
Beliau pernah digambarkan secara sinis oleh ahli politik Buruh, Michael Foot, sebagai "Sigung separuh jinak" dan turut digelar "Chingford skinhead" merujuk kepada kawasan Parlimennya di Essex. Wataknya dalam rancangan satira Spitting Image dipaparkan sebagai lelaki lasak berjaket kulit - satu gambaran yang disukainya kerana "dia sentiasa menang".
Pada tahun 1990, berikutan kebimbangan terhadap isu integrasi migran, beliau mencetuskan kontroversi dengan "ujian kriket", menyarankan pasukan mana yang disokong oleh rakyat British berketurunan Asia dalam perlawanan antarabangsa boleh menjadi petunjuk kesetiaan mereka terhadap UK - kenyataan itu membawa kepada tuduhan rasisme.
Sikap skeptikalnya terhadap Kesatuan Eropah (EU) turut menyebabkan beliau menjadi duri dalam daging kepada pengganti Thatcher, John Major, yang kepimpinannya dicabar oleh isu Berkaitan EU.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami