BRUSSELS: Kira-kira 30 ketua negara dan kerajaan Eropah akan menyertai sidang kemuncak Majlis Eropah yang berlangsung di Iceland pada Selasa yang diadakan buat julung kalinya dalam tempoh 20 tahun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Antara yang dijangka menghadiri sidang kemuncak di Reykjavik dari 16 hingga 17 Mei itu, Canselor Jerman Olaf Scholz, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.

Majlis Eropah diasaskan selepas Perang Dunia II bagi mempromosi hak asasi manusia, demokrasi dan kedaulatan undang-undang dan ia berbeza daripada Kesatuan Eropah kerana 46 ahlinya turut meliputi negara seperti Britain, Turkiye dan Ukraine.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, Presiden Majlis Eropah Charles Michel serta pemerhati dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) akan turut hadir.

Mesyuarat di Reykjavik bakal menjadi sidang kemuncak Majlis Eropah pertama sejak 2005 dan mesyuarat keempat ketua negara dan kerajaan seumpamanya, dengan perang di Ukraine dijangka menjadi topik utama perbincangan.

Rusia dipecat daripada majlis itu selepas melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine tahun lepas.

-- BERNAMA