Mesir membuka pintu sempadannya dengan Semenanjung Gaza untuk membolehkan penduduk Palestin yang cedera mendapatkan rawatan selepas serangan Israel sejak awal minggu ini, lapor Ahram Online.

Laman web berita itu memetik kenyataan pejabat Kedutaan Palestin di Mesir.

Pintu sempadan itu dibuka selepas serangan udara tentera rejim Zionis sejak awal pagi Selasa membunuh sehingga 70 orang di Gaza, termasuk 50 daripadanya orang awam.

Hospital di utara Sinai yang bersempadan dengan Gaza dan Israel telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menerima mereka yang cedera.

Menurut Duta Palestin ke Mesir, Wael Nasr Al-Din, wad khas telah disediakan untuk menangani rawatan melibatkan penduduk Palestin. Petugas hospital juga telah menawarkan diri untuk bekerja lebih masa. Kes-kes yang serius akan dipindahkan ke Kaherah.

Kementerian Kesihatan Mesir juga telah mengirimkan wakilnya ke sempadan untuk memantau pergerakan masuk mangsa serangan dari Gaza itu.

Pihak berkuasa Mesir menutup hampir sepenuhnya pintu sempadan dengan Gaza sejak bekas Presiden Mohamed Morsi digulingkan oleh tentera pada Julai 2013 atas alasan keselamatan.

Penutupan sempadan itu menambah kesempitan hidup lebih kurang 1.7 juta penduduk Palestin yang hidup bagai dalam penjara terbuka di Gaza. Wilayah padat penduduk itu dikenakan sekatan oleh Israel sejak Jun 2006 selepas Hamas menang pilihan raya.

Ketegangan di Gaza meningkat sejak tiga minggu lalu apabila tiga remaja Yahudi diculik di Tebing Barat. Mereka kemudiannya ditemui mati dibunuh. Seorang remaja Palestin kemudian diculik dan dibunuh di Baitulmaqdis.