DUNIA
Selepas seminggu digantung, ‘Jimmy Kimmel Live!’ kembali bersiaran hari ini

Program bual bicara Jimmy Kimmel digantung seminggu selepas personaliti televisyen itu mengeluarkan kenyataan mengenai pembunuhan Charlie Kirk yang menerima kritikan hebat daripada Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), Brendan Carr.
LOS ANGELES: Program bual bicara larut malam popular, Jimmy Kimmel Live! dijadual kembali bersiaran di rangkaian ABC pada Selasa malam, selepas hampir seminggu digantung tayangan berikutan kontroversi.
Dalam kenyataan kepada CNN, jurucakap The Walt Disney Company, pemilik ABC berkata, keputusan menggantung produksi minggu lalu dibuat bagi “mengelak keadaan semakin tegang pada saat yang penuh emosi untuk negara.”
“Kami berasakan ada komen yang disampaikan ketika itu tidak sesuai dengan keadaan dan boleh dianggap tidak sensitif.
"Sejak itu, kami telah mengadakan perbincangan mendalam bersama Jimmy dan hasilnya kami bersetuju untuk mengembalikan semula rancangan ini pada Selasa,” jelas jurucakap itu.Tayangan Jimmy Kimmel Live! digantung secara mengejut dan tanpa had tempoh selepas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), Brendan Carr, bersama beberapa rangkaian stesen milik Sinclair dan Nexstar, mengugut untuk mengambil tindakan terhadap ABC susulan komen Kimmel dalam monolog berkaitan respons gerakan MAGA terhadap insiden pembunuhan Charlie Kirk.
Langkah itu mencetuskan perdebatan nasional mengenai campur tangan kerajaan dan kebebasan bersuara, sekali gus mempertembungkan penyokong pentadbiran Presiden Donald Trump dengan Kimmel yang sebelum ini sering lantang mengkritik antara satu sama lain.
Jurucakap Turning Point USA, Andrew Kolvet mengkritik keputusan ABC: “Disney dan ABC tunduk dan membenarkan Kimmel kembali bersiaran bukanlah sesuatu yang mengejutkan, tetapi ia tetap satu kesilapan. Nexstar dan Sinclair tidak perlu membuat pilihan yang sama,” katanya.
Sebelum berita kepulangannya diumumkan pada Isnin, lebih 400 artis termasuk Tom Hanks, Meryl Streep dan Jennifer Aniston menandatangani surat terbuka anjuran ACLU sebagai tanda sokongan terhadap Kimmel.
Sepanjang minggu lalu, tunjuk perasaan turut diadakan di luar pejabat Disney di New York dan Burbank, California, selain di hadapan teater di Hollywood yang menjadi lokasi rakaman program berkenaan.
Penganalisis media menilai langkah Disney sebagai cabaran besar buat Ketua Pegawai Eksekutif, Bob Iger, dan Pengerusi Bersama Disney Entertainment, Dana Walden, memandangkan syarikat itu sedang berdepan tekanan pelbagai pihak.
Disney memerlukan kelulusan kerajaan untuk beberapa perjanjian termasuk kerjasama ESPN dengan NFL, sementara stesen rakan kongsi mereka juga berada dalam situasi sama.
Kontrak Kimmel pula bakal tamat pada Mei depan, ketika industri rancangan larut malam berdepan penurunan penonton dan hasil pendapatan.
Penggantungan mengejut itu turut memberi kesan besar kepada industri hiburan, memandangkan Kimmel yang telah lama mengemudi rancangan berkenaan dihormati ramai – baik dalam mahupun luar ABC.
Rancangan itu menggaji antara 200 hingga 250 pekerja. Semasa mogok Writers Guild of America (WGA) pada 2023, Kimmel menyalurkan dana untuk menyokong kru produksinya dan awal tahun ini, ketika produksi sekali lagi dihentikan susulan kebakaran hutan di Los Angeles, kawasan belakang pentas program itu digunakan sebagai pusat pengumpulan dan agihan bantuan kepada mangsa.
Kimmel setakat ini belum memberi sebarang kenyataan berhubung kontroversi tersebut, namun dijangka akan menyentuh isu itu dalam episod sulung selepas kembali bersiaran Selasa ini.
CNN melaporkan pihaknya juga telah menghubungi wakil hos tersebut, Sinclair Broadcast Corporation dan Nexstar untuk mendapatkan maklum balas. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami