KUALA LUMPUR: Tiga bulan berlalu sejak Heng Swee Keat mengumumkan penarikan diri beliau sebagai calon Perdana Menteri Singapura yang seterusnya.

Pakar menjangkakan calon pilihan rakyat akan diketahui selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan, kira-kira tiga tahun sebelum berlangsungnya pilihan raya.

Portal Today Online melaporkan, tiga calon paling popular dan menjadi sebutan ketika ini ialah Menteri Pendidikan Chan Chun Sing, 51; Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, 51; dan Menteri Kewangan Lawrence Wong, 48.

"Ia berkisar daripada kesedaran bahawa mereka tidak boleh salah dan masa semakin pendek, kerana penggantinya akan mempunyai ruang lebih singkat (daripada Heng) untuk dikenali dan diterima sebagai pengganti yang layak (kepada PM Lee)," kata Prof Madya Eugene Tan, pakar undang-undang Universiti Pengurusan Singapura.

Ketika ini, kerajaan berfungsi seperti biasa dengan masing-masing menjalankan peranan baharu mereka selepas rombakan drastik Kabinet ketika Singapura baru sahaja pulih daripada pandemik COVID-19.

"Kerajaan Singapura berfungsi dengan baik, sehingga ada yang berpendapat politik di Singapura membosankan.

"Dan ia berterusan begitu walaupun selepas pengumuman tiga bulan lalu," kata peguam korporat Robson Lee.

Penganalisis politik Dr Elvin Ong dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berpendapat Wong dan Ong, kedua-duanya ketua pasukan petugas menteri yang memimpin jawatankuasa tindakan Singapura terhadap COVID-19, "cukup jelas" akan dipertimbangkan untuk menjadi perdana menteri berikutnya.

"Mereka telah melakukan tugas dengan baik dalam kawalan COVID-19 terutama sejak varian Delta muncul di Singapura, malah telah memberi arahan dan garis panduan yang jelas ke arah pembukaan semula ekonomi Singapura," kata Dr Ong.

Penganalisis politik, Prof Madya Felix Tan pula melihat sidang media berkaitan COVID-19 menjadi semakin baik selepas Ong mengambil alih portfolia Menteri Kesihatan.

Malah sejak sebulan yang lalu, kedua-duanya mengambil peranan paling hadapan dalam menangani masalah politik yang berada di luar portfolio mereka.

Penganalisis juga memuji ucapan dan penampilan Wong ketika membincangkan isu konsep berbilang kaum dalam satu acara baru-baru ini.

Bagi Chan pula, pemerhati politik melihat profilnya sedikit merosot berbanding dengan Ong dan Wong, terutama sejak beliau menjadi Menteri Pendidikan.

"Chan sebelum ini sangat terkehadapan ketika Singapura mengalami masalah ekonomi akibat pandemik ini.

"Tetapi walaupun beliau tidak lagi kerap dilihat masyarakat, itu mungkin bukan faktor utama kerana pemilihan terletak kepada pemimpin Kabinet 4G," kata Tan.