Selepas Venezuela, negara mana pula jadi sasaran Trump?

Dasar luar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam penggal kedua kini mencetuskan persoalan besar – negara mana seterusnya bakal menjadi sasaran selepas Venezuela? - Gambar AP
WASHINGTON: Dasar luar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam penggal kedua kini mencetuskan persoalan besar – negara mana seterusnya bakal menjadi sasaran selepas Venezuela?
Trump sebelum ini melaksanakan ancaman terhadap Caracas dengan menahan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores dalam serbuan dramatik di kediaman mereka yang dikawal ketat.
Ketika mengulas operasi itu, Trump menghidupkan semula Doktrin Monroe 1823, namun menjenamakannya sebagai “Doktrin Donroe” – simbol dominasi AS di hemisfera barat.
Berikut antara negara yang disebut Trump dalam amaran terbaharu:
* Greenland
Trump menyatakan hasrat untuk menguasai keseluruhan Greenland, walaupun AS sudah memiliki pangkalan tentera di Pituffik.
Beliau menegaskan, kepentingan strategik pulau Artik itu demi keselamatan negara, sambil mendakwa kawasan tersebut kini dipenuhi kapal Rusia dan China.
Greenland, sebahagian daripada Kerajaan Denmark, kaya dengan mineral nadir bumi yang penting untuk teknologi dan pertahanan.
Namun, Perdana Menteri Greenland, Jens Frederik Nielsen, menolak idea itu sebagai “fantasi” dan menegaskan, sebarang rundingan mesti menghormati undang-undang antarabangsa.
* Colombia
Hanya beberapa jam selepas operasi di Venezuela, Trump memberi amaran keras kepada Presiden Colombia, Gustavo Petro, agar “berjaga-jaga.”
Colombia yang kaya dengan minyak dan mineral, turut menjadi pusat utama perdagangan dadah rantau itu.
Trump menuduh Petro sebagai “sakit” dan terlibat dalam pengedaran kokain ke AS, sambil mengakui kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap negara itu “kedengaran baik.”
Hubungan kedua-dua negara tegang sejak AS mengenakan sekatan ke atas Petro pada Oktober lalu.
* Iran
Trump turut memberi amaran bahawa Iran akan “dihentam hebat” jika kerajaan negara itu terus menindas penunjuk perasaan.
Ancaman ini hadir selepas serangan ke atas kemudahan nuklear Iran tahun lalu, yang mencetuskan konflik 12 hari antara Israel dan Iran.
Rundingan terbaharu antara Trump dan Benjamin Netanyahu dilaporkan menjadikan Iran sebagai agenda utama.
* Mexico
Trump kembali mengulangi retorik lama terhadap Mexico, mendakwa negara itu gagal menghalang aliran dadah dan migran ke AS.
Beliau memberi bayangan tindakan lanjut, walaupun Presiden Claudia Sheinbaum menolak sebarang campur tangan ketenteraan.
* Cuba
Negara pulau itu, hanya 145 kilometer di selatan Florida, telah berada di bawah sekatan Amerika Syarikat sejak awal 1960-an dan mempunyai hubungan rapat dengan Venezuela pimpinan Nicolás Maduro.
Trump menyifatkan Cuba kini “hampir tumbang” selepas kehilangan sumber pendapatan utama daripada minyak Venezuela.
Beliau menjangkakan tiada tindakan ketenteraan diperlukan kerana ekonomi Havana semakin tenat.
"Saya rasa kita tidak perlu lakukan apa-apa," katanya.
"Nampaknya ia sedang jatuh."
"Saya tidak tahu sama ada mereka mampu bertahan, tetapi Cuba kini tiada sumber pendapatan," tambahnya. Mereka mendapat semua pendapatan daripada Venezuela, daripada minyak Venezuela."
Difahamkan, Venezuela membekalkan kira-kira 30 peratus minyak Cuba, menjadikan Havana terdedah sekiranya bekalan terhenti selepas ketiadaan Maduro.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio - anak kepada imigran Cuba - sejak sekian lama menggesa perubahan rejim di Cuba.
Beliau berkata kepada wartawan pada Sabtu: "Jika saya tinggal di Havana dan berada dalam kerajaan, saya akan bimbang – sekurang-kurangnya sedikit."
"Apabila Presiden bercakap, anda harus ambil serius," tegasnya.
Analisis: Ancaman Trump ini menandakan pengukuhan dasar luar agresif AS di bawah “Doktrin Donroe”, sekali gus mencetuskan kebimbangan global mengenai kestabilan geopolitik. - BBC
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


