PROGRAM Artemis IV yang dijadualkan membawa manusia kembali ke permukaan bulan telah ditunda ke 2028 selepas NASA memutuskan untuk menjalankan ujian tambahan kapal angkasa di orbit bumi rendah sebelum misi sebenar.
Bagaimanapun, laporan terbaharu Pejabat Ketua Audit NASA (OIG) mendedahkan program pendarat bulan kini berdepan kelewatan, isu teknikal dan risiko keselamatan kru yang masih belum diselesaikan, lapor Amanz.
Advertisement
Kedua‑dua pendarat bulan — SpaceX Starship Human Landing System (HLS) dan Blue Origin Blue Moon Mark 2 — dikenal pasti mempunyai jurang keselamatan yang boleh menjejaskan misi jika berlaku kegagalan kritikal.
Menurut laporan itu, NASA tidak mempunyai kemampuan menyelamat sekiranya pendarat mengalami kerosakan di permukaan bulan atau gagal berlabuh dengan Orion atau stesen Gateway dalam orbit bulan.
Situasi sebegini boleh menyebabkan krew terkandas tanpa pilihan pulang.
Laporan OIG turut menyatakan masih terdapat jurang dalam pendekatan mitigasi risiko, termasuk kekurangan ujian menyeluruh dan analisis keselamatan kru yang tidak lengkap.
NASA dan penyedia kontrak sedang mempercepatkan pembangunan, namun jurang keselamatan perlu ditutup sebelum misi mendaratkan manusia dapat dilaksanakan.
Semasa era Apollo lebih 50 tahun lalu, krew mengawal Modul Lunar secara manual ketika ia berada pada altitud sekitar 500–2,000 meter bagi memastikan pendaratan selamat.
Walaupun teknologi kini jauh lebih maju, cabaran Artemis membuktikan misi kembali ke bulan masih memerlukan rekabentuk sistem yang lebih teguh dan berdaya tahan bagi menjamin keselamatan angkasawan.