Kedai kopi, Starbucks kesal dengan insiden serangan bom bersiri yang berlaku di sekitar kawasan Sarinah, Jalan MH Thamrin, Jakarta hari ini.

Menerusi satu kenyataan media, Starbucks menyatakan rasa sedih atas serangan keganasan yang meragut kira-kira enam nyawa, setakat ini.

“Kami amat sedih dengan serangan keganasan yang telah berlaku di Jakarta hari ini, doa kami bersama rakyat Indonesia,” tulis Starbucks.

Dengan beberapa laporan, serangan itu bertumpu kepada kawasan pondok polis di tengah Jakarta, laporan awal mendedahkan bahawa salah satu letupan telah berlaku berhampiran cawangan Starbucks di bangunan Skyline.

Namun, semua pekerja dikatakan berada dalam keadaan yang selamat, manakala seorang pelanggan mengalami kecederaan.

“Seorang pelanggan mengalami kecederaan dan telah diberikan rawatan di tempat kejadian; rakan-rakan kami (pekerja), semuanya disahkan selamat,”kata Starbucks sebentar tadi.

Susulan insiden ini, semua cawangan Starbucks di Jakarta akan ditutup sementara waktu.

“Cawangan terjejas dan semua Starbucks lain di Jakarta akan kekal ditutup, atas aspek keselamatan, sehingga diberitahu kelak.”

Setakat ini, enam orang awam dilapor maut.

Menurut CNN Indonesia, empat individu yang disyaki militan maut ditembak polis Indonesia.

Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa insiden letupan dan tembakan yang berlaku di Jakarta, Indonesia pagi tadi.