COPENHANGEN: Seorang artis Denmark yang diberikan dana berjumlah 534,000 Kroner (RM486,370) dalam bentuk wang tunai untuk menghasilkan karya seni telah menghilangkan diri selepas memulangkan kanvas kosong dengan tajuk Take the Money and Run (Ambil Wang Dan Lari).

Jens Haaning telah diberi komisen daripada Muzium Kunsten di bandar Aalborg untuk menghasilkan semula dua buah karyanya sebelum ini menggunakan dana itu, yang diberi dalam matawang Kroner dan Euro – bagi melambangkan gaji tahunan di Denmark dan Austria.

Bagaimanapun, pengarah muzium, Lasse Andersson memberitahu: “Dua hari sebelum pembukaan pameran, kami menerima e-mel daripada Haaning yang menyatakan bahawa dia tidak dapat menunjukkan hasil karyanya seperti yang dipersetujui.”

Seniman itu sebaliknya, hanya menghantar dua kanvas kosong bagi menunjukkan ‘karya seni’ yang dihasilkannya.

Andersson berkata, dia hanya ketawa dan mengambil keputusan untuk mempamerkan juga ‘karya’ itu di pameran seni moden muzium berkenaan pada 24 September lalu.

Jelasnya, dua kanvas kosong itu adalah satu ‘pendekatan humor’ dan merupakan ‘refleksi tentang cara kita menilai kerja’.

Haaning, 56, mempertahankan tindakannya menyimpan wang tunai itu, dengan berkata ‘karya seni berkenaan adalah perlambangan sebenar tentang situasi semasa para seniman’.

Sementara pengarah muzium dapat melihat sisi kelakar dalam insiden itu, dia menambah bahawa semua itu akan berakhir sejurus pameran selesai berlangsung.

“Jika wang itu tidak dikembalikan pada 16 Januari seperti yang dipersetujui, kami akan mengambil tindakan sewajarnya bagi emmastikan Jens Haaning mematuhi kontrak,” kata Andersson kepada AFP.

Bagi karya asal yang sebelum ini pernah dihasilkan, Haaning telah menerima 10,000 Kroner, dan bonus daripada pameran.