Seorang maut manakala 12 lagi cedera dalam sebuah insiden letupan di sebuah restoran dan bar di bandar Ansbach, Jerman pada Ahad malam, ujar polis tempatan.

DPA melaporkan, pasukan keselamatan kini sedang mengawal situasi di bandar dalam negeri Bavaria berkenaan dan anggota penyelamat sudah berada di tempat kejadian.

Pada awalnya, media Jerman melaporkan letupan itu dipercayai berpunca daripada masalah kebocoran gas, namun pihak berkuasa kemudiannya memberitahu letupan itu perbuatan yang sengaja dilakukan.

"Ia memang sengaja dirancang dan diletupkan," ujar jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Michael Siefener, sambil menambah siasatan masih diteruskan.

Pihak berkuasa pula memberitahu, orang yang terbunuh dalam letupan berkenaan adalah suspek kejadian.

Pemohon suaka

Suspek yang terbunuh itu dilaporkan sebagai lelaki pemohon suaka dari Syria berusia 27 tahun yang memasuki Jerman dua tahun lalu.

Pada mulanya, suspek bom bunuh diri itu difahamkan mahu memasuki kawasan tempat berlangsungnya sebuah festival muzik.

Dia dikatakan telah meledakkan bom yang dibawanya di restoran dan bar tersebut selepas tidak berjaya memasuki kawasan utama pertunjukan festival berkenaan.