Skip to main content

Teknologi

Google lancar ChromeOS Flex USB Kit, bantu lanjut hayat PC lama

Sumber: AMANZ
ChromeOS Flex USB Kit memudahkan proses menukar PC lama kepada komputer berasaskan ChromeOS melalui pemacu USB yang telah dimuatkan dengan sistem operasi berkenaan, tanpa memerlukan proses muat turun atau penyediaan manual. -Foto Amanz

MOUNTAIN VIEW: Google melancarkan ChromeOS Flex USB Kit menerusi kerjasama dengan Back Market sebagai sebahagian usaha mengurangkan lambakan sampah elektronik serta memperluas penggunaan semula komputer peribadi lama.

Inisiatif itu menyasarkan pengguna yang masih memiliki PC Windows 10 yang tidak lagi disokong atau tidak layak dinaik taraf kepada Windows 11, sekali gus menawarkan alternatif kepada pembelian peranti baharu, lapor Amanz.

Advertisement

ChromeOS Flex USB Kit memudahkan proses menukar PC lama kepada komputer berasaskan ChromeOS melalui pemacu USB yang telah dimuatkan dengan sistem operasi berkenaan, tanpa memerlukan proses muat turun atau penyediaan manual.

Walaupun ChromeOS Flex boleh dimuat turun secara percuma daripada laman rasmi Google, kit berkenaan ditawarkan sebagai pilihan untuk pengguna yang tidak mempunyai sambungan internet stabil atau mahukan kaedah pemasangan lebih mudah.

Kit itu dijual pada harga US$3 (kira-kira RM12) di beberapa pasaran terpilih sebagai projek perintis, dan boleh digunakan semula pada beberapa peranti serasi, tertakluk kepada senarai model yang diperakui Google.

Google sebelum ini memaklumkan ChromeOS Flex direka untuk memanjangkan jangka hayat perkakasan sedia ada, khususnya komputer lama yang masih berfungsi tetapi terjejas akibat tamat sokongan perisian.

Must Watch Video