PARIS: Seorang maut manakala sekurang-kurangnya empat lagi cedera dalam serangan tembakan rambang dari sebuah kenderaan di kawasan pinggir bandar Trappes dan La Verrière di daerah Yvelines, barat Paris pada Jumaat, lapor Reuters.
Perdana Menteri Perancis, Sébastien Lecornu, mengesahkan pasukan keselamatan dan pihak berkuasa kehakiman telah dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala suspek utama berjaya ditahan polis di bandar berhampiran, Coignières.
Datuk Bandar Trappes, Ali Rabeh, berkata suspek melepaskan tembakan secara rambang menggunakan senjata api automatik ke arah orang ramai di beberapa lokasi termasuk kawasan taman permainan.
Beliau turut mengesahkan seorang daripada mangsa yang cedera parah ialah kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Sementara itu, pihak pendakwa raya dan agensi keselamatan meneruskan siasatan bagi menentukan motif serangan serta sama ada ia mempunyai kaitan dengan unsur keganasan atau kebencian.
Insiden berlaku ketika Perancis berada dalam keadaan kawalan keselamatan yang dipertingkat susulan beberapa siri protes dan rusuhan yang tercetus akibat isu kos sara hidup sejak minggu lalu.