DUNIA
Seorang maut, puluhan cedera bangunan sekolah runtuh di Jawa Timur

Pasukan penyelamat mencari mangsa yang masih terselamat selepas sebuah bangunan runtuh di sebuah sekolah agama Islam di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia, pada Isnin. - Gambar AP
SIDOARJO, JAWA TIMUR: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala puluhan lagi cedera selepas sebuah bangunan sekolah agama runtuh di Jawa Timur pada Isnin (29 Sept).
Jurucakap Polis Jawa Timur, Jules Abraham Abast memaklumkan, lebih 100 pelajar berada di bangunan berkenaan ketika kejadian, dengan sebahagian besar berkumpul untuk menunaikan solat Asar.
“Pasukan penyelamat telah mengeluarkan sekurang-kurangnya 79 mangsa dari lokasi kejadian di Pondok Pesantren Al Khoziny, Sidoarjo.
"Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya kepada media tanpa mengulas lanjut identiti mangsa.Beliau menambah, pihak berkuasa sedang berusaha mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.
“Kami sedang berkomunikasi dengan pihak sekolah bagi memastikan bilangan mangsa yang mungkin masih terperangkap,” ujarnya.
Seorang pengurus sekolah, Abdus Salam Mujib berkata runtuhan berlaku selepas kerja menuang konkrit di tingkat tiga bangunan itu.
“Bangunan itu hanya mempunyai tiga tingkat, namun dirancang sehingga empat tingkat dengan bumbung rata. Tingkat atas akan dijadikan bilik darjah dan ruang aktiviti pelajar, manakala tingkat bawah sudah digunakan sebagai ruang solat,” jelasnya.
Runtuhan itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai piawaian keselamatan bangunan di Indonesia.
Awal bulan ini, sekurang-kurangnya tiga orang maut dan puluhan cedera apabila sebuah bangunan yang menempatkan majlis tahlil runtuh di Jawa Barat.
Pada 2018 pula, tujuh remaja terbunuh di Cirebon selepas bangunan yang digunakan untuk latihan persembahan muzik roboh.
Tahun yang sama, 75 orang cedera apabila lantai mezanin Bursa Saham Indonesia di Jakarta runtuh ke lobi utama. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami