SEOUL: Kerajaan bandar raya Seoul bakal menjalankan ujian penerbangan "kenderaan terbang" di laluan antara Yeouido dan Jamsil pada tahun depan sebagai sebahagian projek untuk mengkomersialkan pengangkutan baharu di kawasan bandar.

Kenderaan terbang yang dikenali sebagai mobiliti udara bandar (UAM), menggunakan pesawat automatik untuk pengangkutan penumpang atau kargo di altitud lebih rendah dalam kawasan bandar dan pinggir bandar tanpa memerlukan landasan.

Korea Selatan menyasarkan untuk menggunakan kenderaan sedemikian dalam perkhidmatan pengangkutan di kawasan metropolitan menjelang tahun 2025, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik seorang pegawai.

Kerajaan bandar raya Seoul bersama Kementerian Tanah akan menjalankan ujian demonstrasi sebanyak dua peringkat pada separuh kedua tahun ini untuk mengesahkan dan memastikan keselamatan projek itu.

Bandar ini akan menjalankan kajian peringkat pertama di kawasan terbuka pada separuh kedua tahun ini dan memilih pengendali projek serta melancarkan ujian peringkat kedua untuk kawasan ibu kota pada tahun depan.

Laluan penerbangan, keselamatan dan rangkaian komunikasi penerbangan, pencemaran bunyi serta lain-lain akan tertakluk kepada ujian di peringkat kedua.

Beberapa laluan penerbangan telah dipilih untuk ujian peringkat kedua, termasuk jarak 18 kilometer (km) antara Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo ke daerah barat Yeouido dan laluan 8 km antara daerah selatan Jamsil dan Suseo serta di dua laluan masing-masing di wilayah Gyeonggi dan Incheon di barat Seoul.

Bandar raya Seoul juga sedang dalam proses mencari lokasi untuk menjadi tuan rumah vertiport, pendaratan atau platform berlepas untuk kenderaan UAM.

-- BERNAMA