DUNIA
Seoul kecam Trump selepas label pekerja Korea Selatan sebagai 'pendatang haram'

Imej daripada rakaman video yang disediakan oleh Imigresen dan Kastam AS menunjukkan pekerja kilang sedang diiring keluar dari loji kenderaan elektrik milik Hyundai Motor Group. - Foto AP
SEOUL: Ketegangan diplomatik antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) memuncak selepas Presiden AS Donald Trump merujuk lebih 300 warga Korea Selatan yang ditahan dalam serbuan imigresen sebagai “pendatang haram”.
Ringkasan AI
- Kenyataan Trump cetus kemarahan Seoul: Presiden AS Donald Trump merujuk lebih 300 warga Korea Selatan yang ditahan sebagai -pendatang haram-, mencetuskan ketegangan diplomatik dengan Korea Selatan.
- Serbuan terbesar oleh ICE: Sebanyak 475 pekerja ditahan dalam operasi imigresen di kilang bateri milik Hyundai dan LG di Georgia, menjadikannya serbuan tunggal terbesar dalam sejarah agensi tersebut.
- Kesan terhadap hubungan dua hala: Korea Selatan menggerakkan usaha diplomatik, manakala syarikat terlibat menafikan kaitan langsung dengan pekerja yang ditahan. Insiden dijangka menjejaskan pelaburan dan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan di White House, Trump mempertahankan tindakan itu.
“Saya akan katakan mereka adalah pendatang haram, dan ICE hanya menjalankan tugasnya”.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan di Seoul, dengan Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun, menyatakan kebimbangan mendalam terhadap penahanan warga negaranya dan menegaskan bahawa hak serta kepentingan rakyat Korea dan syarikat pelabur mesti dilindungi.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, telah mengarahkan usaha diplomatik menyeluruh untuk menangani insiden tersebut.
Beliau turut mempertimbangkan untuk menghantar pegawai kanan ke Washington atau hadir sendiri bagi mengadakan rundingan dengan pentadbiran AS.
Parti pembangkang Korea, People Power Party (PPP), menyifatkan insiden itu sebagai ancaman serius terhadap keselamatan rakyat dan kepentingan ekonomi negara.
Mereka turut mengkritik pendekatan diplomatik Presiden Lee yang didakwa gagal melindungi pelaburan Korea di AS, walaupun menjanjikan pelaburan bernilai sekurang-kurangnya AS$50 bilion dalam pertemuan terdahulu dengan Trump.
Hyundai dan LG Energy Solution dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa mereka sedang memantau situasi dan menegaskan bahawa pekerja yang ditahan bukan kakitangan langsung syarikat.
Kedua-dua syarikat berjanji akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu tersebut.
Insiden ini dijangka memberi kesan besar terhadap hubungan perdagangan dan diplomatik antara kedua-dua negara, terutama dalam konteks pelaburan Korea Selatan yang semakin meningkat di AS.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami