ISTANBUL: Sepanyol akan membuka semula kedutaannya di Tehran bagi menyokong usaha ke arah penyelesaian secara aman susulan gencatan senjata yang dipersetujui baru-baru ini antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata Menteri Luar Jose Manuel Albares pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.
Albares berkata beliau telah mengarahkan Duta Besar Sepanyol ke Iran Antonio Sanchez-Benedito supaya kembali ke Tehran dan menyambung semula operasi diplomatik selepas kedutaan itu ditutup sementara pada 7 Mac lepas, menurut El Pais.
Advertisement
Bercakap setibanya beliau di Kongres Sepanyol, Albares berkata keputusan itu mencerminkan “situasi baharu” yang diwujudkan susulan perjanjian gencatan senjata selama dua minggu antara kedua-dua negara.
Menurut Albares, beliau telah bercakap dengan rakan sejawatannya dari Iran, Abbas Araghchi pada Rabu bagi memaklumkan langkah itu, sambil menambah bahawa ia menekankan komitmen Madrid dalam menyumbang kepada “usaha ke arah keamanan”.
Albares turut mengadakan perbincangan dengan beberapa rakan sejawat serantau, termasuk menteri luar Oman, Qatar, Bahrain dan Kuwait, serta Lubnan.
Menerusi panggilan telefon dengan Menteri Luar Lubnan Youssef Raggi, beliau menyatakan sokongan Sepanyol dalam menghadapi apa yang disifatkannya sebagai serangan Israel yang “kejam dan sembarangan” ke atas Lubnan.
Ketika ditanya mengenai laporan Wall Street Journal bahawa AS mungkin mempertimbangkan untuk menutup pangkalan tenteranya di negara yang tidak menyokong tindakannya, termasuk Sepanyol dan Jerman, Albares berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.
Beliau berkata hubungan dua hala dengan Washington berhubung penggunaan pangkalan udara Rota dan Moron masih diteruskan dan kedua-dua kemudahan itu beroperasi “sepenuhnya seperti biasa”.
Iran dan AS pada Selasa mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu yang bertujuan membuka laluan kepada perjanjian muktamad bagi menamatkan perang yang dilancarkan Washington dan Israel terhadap Tehran pada 28 Feb lepas, yang mengakibatkan ramai terkorban dan cedera.
-- BERNAMA-ANADOLU