Skip to main content

Malaysia

Lebih 150,000 kenderaan sehari banjiri WCE sempena Aidiladha, cuti panjang

51742795018_TBwce.jpg
Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka akan membanjiri WCE pada hari-hari puncak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bertembung dengan cuti persekolahan dan cuti hujung minggu panjang. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka akan membanjiri Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) pada hari-hari puncak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bertembung dengan cuti persekolahan dan cuti hujung minggu panjang.

Pengurusan WCE dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, peningkatan ketara aliran trafik dijangka berlaku susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan bercuti sepanjang tempoh berkenaan.

"Bagi memastikan kelancaran trafik serta keselesaan pengguna, WCE akan melaksanakan pelbagai langkah kesiapsiagaan termasuk menangguhkan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong, kecuali kerja kecemasan.

"Jentera bantuan seperti trak tunda akan ditempatkan di lokasi strategik sepanjang jajaran lebuh raya selain pengukuhan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan petugas peronda bagi memastikan bantuan dapat diberikan dengan pantas selama 24 jam.

“Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan sebarang insiden dapat ditangani segera sekali gus meminimumkan gangguan kepada aliran trafik utama,” menurut kenyataan itu.

WCE turut menggalakkan pengguna memanfaatkan aplikasi mudah alih terkini yang menyediakan navigasi laluan, maklumat kemudahan seperti stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), tempat berteduh motosikal, telefon kecemasan, bantuan Kecerdasan Buatan (AI) dan maklumat trafik masa nyata.

Selain itu, sistem PayDirect Touch ‘n Go di semua plaza tol WCE membolehkan caj tol ditolak terus daripada baki e-dompet tanpa perlu tambah nilai kad secara manual.

"Dari segi kemudahan fizikal, WCE menyediakan enam kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lengkap dengan parkir, surau dan tandas selain gerai makanan di beberapa lokasi terpilih termasuk R&R Sungai Nyior arah utara dan selatan serta R&R Bukit Kapar arah utara.

"Pengguna juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh trafik tinggi itu.

“Dengan sokongan kemudahan digital dan kesiapsiagaan operasi, WCE komited memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan efisien.

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya disaran memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi had laju dan mengekalkan jarak selamat selain memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar serta penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

Pengguna juga diingatkan supaya memastikan baki e-dompet atau kad Touch ‘n Go mencukupi bagi mengelakkan gangguan transaksi di plaza tol serta mengambil rehat secukupnya di R&R atau hentian sebelah bagi mengelakkan keletihan dan risiko microsleep.

Must Watch Video

Advertisement