KAJIAN terbaharu mengenai cuaca semasa global mendedahkan lebih separuh daripada tasik dan takungan terbesar di dunia semakin susut paras airnya.

Profesor di University of Colorado Boulder, Balaji Rajagopalan berkata, situasi itu menjadikan jaminan air masa depan manusia dalam risiko.

Menurut beliau, hasil kajian mendapati perubahan iklim dan penggunaan tidak mampan adalah punca utama kepada situasi tersebut.

Kajian Rajagopalan itu tersiar di Journal Science pada Jumaat.

Menurut beliau, tasik paling bermasalah di seluruh dunia dan ia mempunyai implikasi jauh dan luas.

"50 peratus daripada tasik air bersih alami trend mengering dari segi jumlah dan takungannya," katanya.

Ujar Rajagopalan, keadaan itu benar-benar menarik perhatian pengkaji sepertinya bahawa 25 peratus daripada penduduk dunia tinggal di lembangan tasik yang berada dalam aliran menyusut.

Katanya, ini bermakna kira-kira 2 bilion orang terjejas.

"Hampir 50 peratus atau kurang, trend yang berlaku, faktor penyumbangnya ialah kerana tindakan manusia dan cuaca.

"Bakinya disumbang perkara lain, iaitu kira-kira 8 hingga 10 peratus," katanya.

Ujar beliau, tidak seperti sungai yang cenderung menarik perhatian saintifik, tasik tidak dipantau dengan baik walaupun ia sangat penting untuk jaminan bekalan air.

Bagi mengkaji persoalan itu secara sistematik, pasukan termasuk saintis dari Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Arab Saudi mengkaji 1,972 tasik dan takungan terbesar di bumi menggunakan pemerhatian daripada satelit dari tahun 1992 hingga 2020.

Mereka memberi tumpuan kepada kolam air tawar yang lebih besar kerana ketepatan satelit lebih baik pada skala lebih besar, serta kepentingannya untuk manusia dan hidupan liar.