Kelayakan Piala Asia: Gandingan Luqman Hakim, Faisal dan Arif Aiman gempur Nepal?

Gandingan Faisal, Luqman Hakim dan Arif Aiman mungkin bakal menjadi senjata baharu buat Harimau Malaya. - Foto Sinar Harian
PENYERANG negara, Luqman Hakim Shamsudin diyakini tidak akan mensia-siakan peluang keemasan yang diberikan kembali menyarung jersi skuad kebangsaan dalam kempen Kelayakan Piala Asia menentang Nepal Selasa ini.
Ringkasan AI
- Luqman Hakim Shamsudin diyakini akan manfaatkan peluang kembali bersama skuad kebangsaan dalam kempen Kelayakan Piala Asia menentang Nepal.
- Prestasi Luqman bersama Negeri Sembilan FC di Liga Super menunjukkan peningkatan yang positif, membuktikan kematangan dalam permainannya.
- Peminat bola sepak berharap untuk melihat gandingan mantap antara Luqman Hakim, Faisal Halim, dan Arif Aiman Hanapi di bahagian serangan ketika menentang Nepal, menyokong keputusan pengendali skuad kebangsaan.
“Bagusnya sekarang, jurulatih skuad kebangsaan memberi dia peluang untuk isi tempat dalam pasukan. Saya tak rasa peluang ini akan disia-siakan oleh Luqman Hakim.
"Dengan gaya permainan dia yang semakin matang, saya yakin dia mampu bantu skuad kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, Luqman Hakim yang pernah dilabel antara bintang masa depan bola sepak negara berdepan dengan masalah minit permainan ketika berkelana selama lima tahun di luar negara bersama beberapa kelab iaitu KV Kortrijk (Belgium), Njardvik (Iceland) dan Yokohama SCC (Jepun).
Tahun ini, Luqman Hakim membuat keputusan untuk kembali beraksi di Malaysia dan disambar oleh Negeri Sembilan FC.
Awal musim menyaksikan pemain kelahiran Kelantan itu berdepan masalah kecederaan sebelum bangkit menonjolkan persembahan lebih baik dalam beberapa perlawanan terakhir liga.
Malah, dia turut meledak gol untuk kelabnya ketika menewaskan Timor Leste pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 2 pada Ahad lalu.
Untuk rekod, kali terakhir Luqman beraksi bersama pasukan kebangsaan adalah ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022.
Kali ini, dia dipanggil bagi menggantikan penyerang naturalisasi negara, Jordan Mintah yang terpaksa diketepikan akibat masalah kesihatan.
Dalam masa sama, Rezal turut bersetuju dengan pandangan peminat bola sepak tempatan yang mahu menyaksikan gandingan mantap antara Luqman Hakim, Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi di bahagian serangan.
“Mereka bertiga kini berada dalam prestasi terbaik. Faisal dan Arif Aiman sudah pun menunjukkan aksi konsisten bersama kelab dan pasukan kebangsaan.
"Tidak salah untuk melihat gandingan ini beraksi ketika menentang Nepal sekiranya diberikan peluang oleh Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski," katanya. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


