Serangan di Bondi: Polis sahkan penyerang adalah anak-bapa

Anggota polis berkawal susulan serangan terhadap sambutan perayaan Yahudi di Pantai Bondi, Sydney, Australia. - Foto REUTERS
SYDNEY: Polis Australia mengesahkan bahawa dua suspek dalam serangan tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi, Sydney, merupakan pasangan anak dan bapa, dalam insiden yang kini disifatkan sebagai serangan pengganas yang menyasarkan komuniti Yahudi.
Menurut kenyataan rasmi, penyerang berusia 50 tahun maut di tempat kejadian selepas berbalas tembakan dengan pihak berkuasa, manakala anak lelakinya yang berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di hospital dalam keadaan kritikal.
Serangan yang berlaku pada malam pertama sambutan Hanukkah itu mengorbankan sekurang-kurangnya 16 nyawa, termasuk seorang kanak-kanak dan dua anggota polis.
Lebih 40 orang lagi dilaporkan cedera dalam kejadian yang mengejutkan negara itu.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa serangan itu “direka untuk menyasarkan komuniti Yahudi Sydney”, dan siasatan kini tertumpu kepada kemungkinan kaitan dengan kumpulan ekstremis.
Rakaman video menunjukkan seorang peniaga tempatan, Ahmed al Ahmed, bertindak berani melumpuhkan salah seorang penyerang, sekali gus mengelakkan lebih banyak korban jiwa.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan insiden itu sebagai “tragedi nasional” dan menyeru rakyat agar bersatu menentang kebencian serta keganasan.
Kawasan sekitar Pantai Bondi kini ditutup untuk siasatan forensik dan kawalan keselamatan dipertingkatkan di seluruh bandar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


