DUNIA
Serangan Israel ke atas Iran boleh berlaku bila-bila masa - Trump

Presiden Trump, memberi amaran bahawa serangan Israel ke atas Iran “boleh berlaku bila-bila masa.” - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran bahawa serangan Israel ke atas Iran “boleh berlaku bila-bila masa.”
Manakala laporan daripada Wall Street Journal menyatakan ia mungkin seawal Ahad ini sekiranya Tehran enggan menghentikan pengeluaran bahan untuk senjata nuklear.
Laporan itu turut memetik seorang pegawai kanan Israel yang memaklumkan bahawa serangan adalah kemungkinan sebenar sekiranya Iran tidak memberikan sebarang kompromi dalam rundingan.
Perisikan AS telah mengesahkan bahawa Israel sedang membuat persiapan untuk menyerang fasiliti nuklear Iran dan beberapa pegawai AS berkata, serangan itu boleh berlaku dalam beberapa hari akan datang.Ini adalah kali pertama tarikh yang berpotensi untuk serangan disebut secara terbuka sejak ketegangan antara kedua-dua musuh lama itu memuncak.
RUNDINGAN NUKLEAR BUNTU
Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social menegaskan, beliau masih berharap agar penyelesaian diplomatik dicapai, sambil menyatakan bahawa seluruh pentadbirannya telah diarahkan untuk berunding dengan Iran.
“Kami tetap komited terhadap penyelesaian diplomatik bagi isu nuklear Iran!
“Mereka boleh menjadi sebuah negara yang hebat, tetapi mereka terlebih dahulu mesti menyerah sepenuhnya cita-cita untuk memiliki senjata nuklear,” katanya.
Rundingan antara AS dan Iran dilaporkan berada di jalan buntu, dengan pusingan keenam perbincangan dijangka berlangsung di Oman pada Ahad, melibatkan perantara dari negara tuan rumah.
Namun, spekulasi mengenai kemungkinan serangan oleh Israel telah menimbulkan kebimbangan terhadap risiko peperangan berskala besar di rantau Asia Barat, termasuk tindakan balas dari Iran yang sebelum ini berikrar mahu “menghapuskan Israel.”
AS TIDAK AKAN SERTAI SERANGAN
Menurut laporan portal Axios, White House telah memaklumkan kepada Israel bahawa AS tidak akan terlibat secara langsung dalam sebarang serangan ke atas fasiliti nuklear Iran.
Bagaimanapun, AS mungkin membantu dari segi sokongan perisikan, logistik atau pertahanan jika Iran bertindak balas terhadap Israel.
Difahamkan, bantuan ketenteraan secara “ofensif” tidak akan diberikan oleh Washington.
Penganalisis antarabangsa menjangka Israel sukar bertindak sendirian tanpa sokongan ketenteraan dari AS, memandangkan keperluan teknikal seperti penggunaan bom "bunker buster" yang diperlukan untuk menyerang fasiliti bawah tanah Iran di Fordow.
Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Khamis mengisytiharkan bahawa Iran telah melanggar obligasi di bawah Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear.
Iran dilaporkan telah membalas dengan merancang pembukaan loji pengayaan uranium ketiga, walaupun negara itu menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan keamanan.
Seorang pegawai kanan Iran turut mendedahkan bahawa sebuah “negara sahabat” telah memberi amaran awal mengenai kemungkinan serangan dari Israel.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, seperti dilaporkan media rasmi negara itu, menegaskan bahawa “jika fasiliti nuklear Iran dibom sekalipun, ia akan dibina semula.”
KETEGANGAN KIAN MEMUNCAK
Ketegangan serantau turut meningkat selepas Trump pada Rabu mengarahkan pemindahan kakitangan AS dari rantau berkenaan, dengan alasan situasi “boleh menjadi sangat berbahaya”.
Dilaporkan, Trump telah berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, awal minggu ini mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan.
“Saya tidak mahu mengatakan ia akan berlaku serta-merta, tetapi ia boleh benar-benar berlaku,” kata Trump kepada media di White House.
Beliau juga menyatakan bahawa Iran perlu berunding “dengan lebih serius” dan memberi sesuatu yang setakat ini mereka masih enggan kompromi.
KESAN PERANG GAZA DAN KENAIKAN HARGA MINYAK
Situasi di Asia Barat telah sedia tegang susulan peperangan berpanjangan antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas di Gaza, yang turut memberi kesan kepada keselamatan serantau.
Trump turut meluahkan kebimbangan mengenai kenaikan harga minyak global yang disebabkan oleh ketidaktentuan bekalan berpunca daripada ancaman konflik di Asia Barat.
Diplomat asing mendakwa tindakan AS memindahkan kakitangan serta “membocorkan” maklumat mengenai kemungkinan serangan oleh Israel mungkin bertujuan untuk memberi tekanan tambahan ke atas Tehran menjelang rundingan Ahad ini.
“Ia adalah taktik untuk memaksa Iran mengubah pendirian mereka terhadap hak nuklear,” kata seorang pegawai Iran kepada agensi berita Reuters. - Agensi
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami