DUNIA
Serangan Israel: Warga Iran jalani kehidupan seperti biasa walau dibedil - Pelajar Malaysia

Orang ramai dilihat berkumpul di jalanan di Tehran, selepas Iran melancarkan serangan ke atas Israel pada Jumaat. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Keadaan di Iran masih terkawal meskipun negara itu diserang tentera rejim Israel malah masyarakatnya dilihat masih meneruskan kehidupan seperti biasa, menurut seorang pelajar Malaysia di Iran.
Ringkasan AI
- Keadaan di Iran masih terkawal: Walaupun diserang oleh tentera Israel, kehidupan masyarakat Iran dilaporkan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kekacauan besar.
- Rakyat Malaysia di Iran selamat: Pelajar Malaysia di Iran mengesahkan pihak Kedutaan Malaysia telah menghubungi rakyat Malaysia bagi mendapatkan perkembangan, dan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas.
- Risiko eskalasi konflik: Hasan menjangkakan kemungkinan evakuasi rakyat Malaysia dari Iran jika peperangan semakin kritikal, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam serangan Israel sebagai tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan rantau.
“Tidak ada timbul unsur-unsur ketakutan ataupun kebingungan yang terlalu serius..sampai tahap jadi rusuhan atau panik…semua masih terkawal, stabil dan terjaga…orang masih meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Semasa berita mengenai serangan peluru berpandu oleh Israel telah berlegar, Hasan tidak menafikan wujud rasa bimbang kerana ia menyasarkan kawasan awam.
“Kita memang tak boleh elakkan diri atau lari daripada timbulnya perasaan takut, kerana bukan sahaja mereka yang berpangkat yang telah disasarkan, bahkan, kemalangan jiwa telah melibatkan orang awam,” katanya.
Namun pada ketika ini beliau optimis dengan kemampuan pihak berkuasa Iran dalam mengawal suhu ketegangan yang kian memuncak diantara kedua-dua negara.
Beliau turut mengesahkan pihak Kedutaan Malaysia di Iran telah berhubung dengan rakyat Malaysia bagi mendapatkan perkembangan keadaan mereka pasca serangan.
“Beberapa jam selepas serangan, pihak kedutaan ada menghubungi kami, bertanya tentang keadaan kami,” katanya.
Malah Hasan turut menjangkakan seandainya peperangan telah mencapai tahap yang kritikal kemungkinan besar rakyat Malaysia bakal dievakuasi dari Iran.
“Ada beberapa khabar angin (dikatakan) memang kita (bakal) harus melakukan evakuasi, mengeluarkan semua rakyat Malaysia yang berada di Iran…jika hal ini berlanjutan dan makin serius,” katanya.
Kementerian Luar turut mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia di Iran dilaporkan terjejas susulan serangan oleh Israel ke atas negara itu.
Media melaporkan, serangan tersebut dilakukan susulan rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat yang sedang berlangsung hampir enam pusingan di Oman pada 15 Jun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengecam serangan berkenaan, sambil menyifatkannya sebagai tindakan berat dan melulu yang boleh memburukkan lagi ketegangan di rantau itu.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami