INTERNATIONAL
Serangan Kashmir: Pakistan desak siasatan neutral susulan tuduhan India

Anggota keselamatan BSF berkawal di lintasan Attari-Wagah di Amritsar, sempadan India-Pakistan, susulan serangan ke atas pelancong di Kashmir, 25 Apr 2025. REUTERS
SRINAGAR: Pakistan pada Sabtu menyeru supaya satu siasatan "neutral" dijalankan berhubung insiden pembunuhan yang melibatkan kebanyakan pelancong India di Kashmir, yang dituduh oleh New Delhi didalangi Islamabad.
Pakistan menegaskan kesediaan untuk bekerjasama serta mengulangi komitmen kepada keamanan.
India telah mengenal pasti dua daripada tiga suspek militan sebagai rakyat Pakistan, namun Islamabad menafikan sebarang penglibatan dalam serangan pada Selasa lalu yang mengorbankan 25 pelancong India dan seorang pelancong Nepal.
"Pakistan bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama dengan mana-mana penyiasat neutral bagi memastikan kebenaran terbongkar dan keadilan ditegakkan," kata Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi."Pakistan kekal komited terhadap keamanan, kestabilan serta pematuhan norma antarabangsa, namun tidak akan berkompromi terhadap kedaulatannya," katanya dalam satu sidang media.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, berikrar untuk memburu para penyerang hingga "ke hujung dunia" dan berjanji mereka yang merancang serta melaksanakan serangan itu "akan dihukum melampaui apa yang mereka bayangkan."
Seruan untuk tindakan ketenteraan terhadap Pakistan turut disuarakan oleh ahli politik dan tokoh awam India.
Berikutan serangan itu, ketegangan antara India dan Pakistan meningkat, dengan Pakistan menutup ruang udaranya kepada syarikat penerbangan India, manakala India menggantung Perjanjian Air Indus 1960 yang mengawal perkongsian air Sungai Indus dan anak-anak sungainya.
Kedua-dua negara yang menuntut keseluruhan wilayah Kashmir tetapi hanya mentadbir sebahagian daripadanya, juga telah bertukar-tukar tembakan di sempadan de facto mereka selepas empat tahun keadaan relatif tenang.
Tentera India melaporkan telah bertindak balas terhadap tembakan kecil yang "tidak diprovokasi" dari beberapa pos tentera Pakistan, yang bermula sekitar tengah malam Jumaat di sepanjang sempadan sepanjang 740km itu. Tiada kecederaan dilaporkan.
Pihak tentera Pakistan belum memberikan sebarang komen berhubung insiden berkenaan.
Pasukan keselamatan India meneruskan operasi memburu suspek dan telah merobohkan sekurang-kurangnya lima rumah yang didakwa milik militan di Kashmir termasuk salah seorang yang dipercayai terlibat dalam serangan terbaharu itu.
Di sebuah rumah di kampung Murram, daerah Pulwama, serpihan kaca bertaburan di tapak rumah yang dirobohkan pada Sabtu.
Penduduk tempatan berkata mereka tidak melihat kelibat Ehsan Ahmed Sheikh, suspek yang rumahnya dirobohkan, sejak tiga tahun lalu.
Keluarganya enggan bercakap dengan wartawan.
"Tiada siapa tahu di mana dia berada," kata jiran, Sameer Ahmed.
"Keluarga Ehsan telah kehilangan rumah mereka. Mereka yang akan menderita akibat ini, bukannya dia."
Impak ekonomi
Ketegangan yang memuncak turut memberi kesan terhadap sektor perniagaan.
Syarikat penerbangan India seperti Air India dan IndiGo kini bersiap sedia menghadapi peningkatan kos bahan api serta masa perjalanan yang lebih panjang susulan keperluan untuk mengubah laluan penerbangan antarabangsa mereka.
Kerajaan India telah meminta syarikat penerbangan supaya berkomunikasi secara aktif dengan penumpang mengenai perubahan laluan dan kelewatan, serta memastikan bekalan makanan, air dan kit perubatan mencukupi untuk perjalanan yang lebih lama. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami