MENURUT laporan berita oleh David Brennan dari Newsweek, satu kajian oleh Georgia State University dan Universiti Alabama mendapati serangan oleh pengganas yang mengaku dirinya Islam memperoleh 357 peratus liputan media berbanding serangan pengganas lain.

Sumber laporan berita tersebut diperolehi dari hasil kajian yang diterbitan dalam Journal Justice Quarterly bertajuk Why do some terrorist attacks receive more media attention than others? (2019) Oleh Erin M. Kearns, Allison E. Betus dan Anthony F. Lemieux.

Menurut Kearn, Betus dan Lemieux (2019), kajian mereka meliputi 136 serangan pengganas yang berlaku di Amerika Syarikat antara tahun 2006 sehingga 2015.

Dari kajian Jurnal tersebut Brennan mendapati, dari 136 serangan pengganas ini, serangan oleh penyerang yang mengaku dirinya Islam hanyalah 12.5 peratus sahaja.

Bagaimanapun, angka 12.5 peratus ini menerima 357 peratus liputan media berbanding serangan pengganas lain.

Oleh kerana media memberi 357 peratus lebih liputan terhadap serangan pengganas yang mengaku diri mereka Islam, maka rakyat Amerika Syarikat tidak memberi perhatian kepada ancaman-ancaman pengganas lain.

Allison Betus yang juga seorang Felo Presidensial pusat Inisiatif Konflik Transbudaya dan Ekstremis Keganasan dari Georgia State University berkata, sama ada laporan media mengenai serangan pengganas oleh wartawan sebagai satu keputusan yang disedari atau tidak, ia sebenarnya telah menyebabkan pengukuhan naratif budaya tentang apa dan siapa perlu ditakuti.

Betus (2019) menambah lagi, dengan membuat liputan serangan pengganas yang mengaku Islam secara lebih dramatik dari insiden pengganas lain, maka media telah membingkai jenis serangan ini sebagai sesuatu yang lebih lazim.

Selain itu, menurut Brennan pula, kajian tersebut menyatakan bahawa, serangan pengganas yang mengaku mereka Islam mendapat 211 peratus lebih liputan apabila mereka menyerang simbol-simbol kerajaan di Amerika Syarikat dan peningkatan sebanyak 287 peratus lagi apabila laporan berita sama ada suspek ditangkap atau tidak.

Kajian yang diketuai oleh Arin Kearns, pembantu profesor dari Universiti Alabama, Serta Allison Betus dan profesor Anthony Lemieux dari Georgia State University membuat kesimpulan bahawa kajian mereka jelas, namun ia mempunyai limitasi tersendiri.

Contohnya, mereka menyatakan bahawa kajian mereka hanya melihat kepada liputan berita dari media cetak dan media dalam talian seperti LexisNexis Academic dan CNN.com.

Bagi Malaysia pula, kerangka kajian yang sama boleh digunakan oleh pengkaji media tempatan dalam usaha mendapatkan jawapan mengenai peratusan liputan media terhadap serangan pengganas.

Sememangnya, serangan pengganas yang mengaku diri mereka Islam telah memberi persepsi buruk kepada agama dan umat Islam.

Namun, lebih dari itu, serangan pengganas berpotensi menjadi ancaman besar kepada keselamatan negara.

Contohnya, serangan pengganas dari Pakistan yang meletupkan sebuah bas di bahagian selatan Kashmir hingga menyebabkan 42 orang askar India terbunuh telah mengheret dua negara tersebut ke kancah peperangan.

Jika peperangan antara India dan Pakistan berlaku, pasti ia akan merugikan kedua belah pihak dan kos peperangan ini akan memberi kesan buruk yang sistemik terhadap aspek-aspek ekonomi, politik, sosial dan pembangunan kedua-dua negara.

Selain itu, peperangan juga akan menyebabkan krisis kemanusiaan yang nyata seperti pelarian, kehilangan tempat tinggal, kehilangan nyawa, kehilangan pekerjaan dan seterusnya masalah-masalah sosial yang lain.

Rujukan
  1. Brennan, D. (2019, Februari 20). Muslim terror attacks get 357 percent more media coverage than those by other groups: study. Newsweek. Retrieved from https://www.newsweek.com/
  2. Kearns, E. M. Betus, A. E. & Lemieux, A. F. (2019). Why do some terrorist attacks receive more media attention than others? Journal of Justice Quarterly. Taylor & Francis Online. doi.org/10.1080/07418825.2018.1524507

*Penulis adalah pensyarah di Pusat Komunikasi dan Masyarakat Digital, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Penulis boleh dihubungi melalui emel [email protected]

** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.