YAHOO Inc memberi amaran tentang satu serangan siber besar-besaran, yang antara lain meletakkan data 1 bilion pengguna dalam risiko selepas diceroboh pada Ogos 2013, sekali gus menjadikannya kes terburuk dalam sejarah.

Bilangan akaun yang terjejas adalah dua kali ganda berbanding serangan tahun 2014 seperti yang didedahkan syarikat itu pada September lalu, lapor Reuters.

Berita serangan tersebut yang menjejaskan sekurang-kurangnya 500 juta akaun, telah menyebabkan Verizon Communication Inc mengeluarkan kenyataan pada Oktober bahawa ia menarik diri daripada perjanjian membeli bisnes internet teras Yahoo bernilai AS$4.83 bilion.

Verizon berkata, “Kami akan meilai impak perkembangan terbaru ini sebelum membuat sebarang keputusan akhir.”

“Yahoo dalam keadaan sangat teruk. Mereka tidak mengambil serius tentang keselamatan dan kini semakin jelas. Saya tidak yakin Yahoo dapat mengatasinya,” kata pakar enkripsi dan keselamatan Bruce Schneier.

Sementara itu, Yahoo percaya pendedahan insiden terbaru pada Rabu itu berbeza daripada kes yang dilaporkan pada September.

Syarikat itu juga tidak dapat mengenal pasti pencerobohan yang dikaitkan dengan pencurian data berkenaan.

Yahoo berkata, maklumat akaun pengguna yang dicuri itu mungkin mengandungi nama, alamat e-mel, nombor telefon, tarikh lahir, kata laluan dan dalam kes tertentu, set soalan dan jawapan pengesahan sama ada yang dienkripsi ataupun tidak.

Data kad pembayaran dan maklumat akaun bank tidak disimpan dalam sistem yang terjejas, kata syarikat itu.

Yahoo, yang menyaksikan kejatiuhan harga saham sebanyak 2.4 peratus kepada AS$39.91 dalam dagangan selepas ditutup, telah memaklumkan pengguna yang dikhuatiri terjejas dan telah mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi akaun.