GAZA: Sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin, termasuk lapan kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara oleh tentera rejim Israel di Gaza, lapor Reuters pada Ahad.

Menurut pegawai kesihatan Gaza, angka kematian di wilayah itu melibatkan rakyat Palestin meningkat kepada 181 orang, termasuk 47 kanak-kanak sejak Isnin lalu.

Serangan yang berlaku sebelum Subuh itu menyasarkan kediaman di pusat Bandar Gaza.

Warga Palestin yang berusaha membersihkan runtuhan sebuah bangunan, menemui mayat seorang wanita dan lelaki.

"Ini adalah saat-saat ngeri yang tidak dapat digambarkan sesiapa pun. Seolah-olah gempa bumi melanda kawasan itu," kata Mahmoud Hmaid, bapa kepada tujuh anak yang membantu usaha mencari dan menyelamat.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengingatkan semua pihak pada Sabtu bahawa sebarang sasaran terhadap struktur awam dan media adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan mesti dielakkan dengan apa cara sekalipun.

Semalam, tentera Israel telah memusnahkan bangunan 12 tingkat di  Gaza yang menempatkan operasi media Associated Press (AP) dan Al Jazeera.

BACA: Pejabat biro AP dan Al Jazeera di Gaza musnah dalam serangan udara Israel

Mereka mendakwa bangunan itu menjadi sasaran kerana kononnya melindungi pejabat pejuang Hamas.

AP mengutuk serangan itu, dan meminta Israel mengemukakan bukti.

"Tiada bukti Hamas berada dalam bangunan itu atau aktif dalam bangunan itu," kata mereka dalam satu kenyataan.