DUNIA
Serangan udara Israel di selatan Lubnan langgar resolusi PBB, gugat keselamatan serantau – UNIFIL

UNIFIL menggesa Israel supaya "menghentikan sebarang serangan lanjut dan berundur sepenuhnya dari wilayah Lubnan." - Gambar fail
ANKARA: Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) pada Jumaat mengecam serangan udara Israel di selatan Lubnan, menyifatkannya sebagai pelanggaran Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB dan memberi amaran bahawa tindakan itu menggugat kestabilan serantau, lapor Anadolu Ajansi.
Ringkasan AI
- UNIFIL mengecam serangan udara Israel di selatan Lubnan yang melanggar Resolusi 1701 PBB dan menggugat kestabilan serantau.
- Serangan itu membahayakan pasukan pengaman PBB, tentera Lubnan dan orang awam, memaksa anggota berlindung ketika serangan berlaku.
- UNIFIL menggesa Israel berundur sepenuhnya dari Lubnan serta semua pihak menghormati gencatan senjata dan Resolusi 1701.
"UNIFIL dan Tentera Lubnan berada di lapangan setiap hari untuk memulihkan kestabilan di selatan dan sepanjang Garisan Biru," menurut kenyataan itu.
UNIFIL turut mengesahkan bahawa pasukan pengaman di dua lokasi di Deir Kifa, berhampiran Burj Qalawieh, terpaksa berlindung ketika serangan udara berlaku.
"Serangan itu membahayakan nyawa anggota tentera Lubnan, pasukan pengaman PBB dan orang awam," kata misi berkenaan.
UNIFIL menggesa Israel supaya "menghentikan sebarang serangan lanjut dan berundur sepenuhnya dari wilayah Lubnan."
Misi itu turut menggesa semua pihak menghormati komitmen di bawah Resolusi 1701 dan perjanjian untuk menghentikan pertempuran.
"Mekanisme ini diwujudkan khusus untuk menyelesaikan kebimbangan dan mengelakkan tindakan keganasan unilateral, dan ia wajar digunakan sepenuhnya," kata UNIFIL.
Pada Khamis, jet pejuang Israel melancarkan beberapa siri serangan udara di selatan Lubnan dengan alasan menyasarkan kedudukan ketenteraan Hizbullah.
Satu gencatan senjata dicapai pada November 2024 selepas berlakunya serangan rentas sempadan antara Kumpulan Hizbullah dan Israel sejak Oktober 2023.
Pertukaran serangan itu memuncak kepada peperangan berskala penuh oleh Israel pada September 2024 yang mengorbankan lebih 4,000 nyawa dan mencederakan kira-kira 17,000 orang.
Di bawah perjanjian gencatan senjata, Israel sepatutnya berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan menjelang Januari, namun hanya melakukan pengunduran separa dan masih mengekalkan kehadiran tentera di lima pos sempadan.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami