SEOUL: Serpihan objek udara yang melanggar sebuah kapal dikendalikan HMM di Selat Hormuz minggu lepas tiba di Korea Selatan pada Jumaat untuk dianalisis, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Kementerian Luar.
Kementerian itu dalam kenyataan media berkata, serpihan berkenaan dibawa masuk selepas rundingan dengan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan akan dianalisis secara terperinci oleh agensi khusus.
Pemeriksaan di lokasi pada hujung minggu lalu mendapati HMM Namu, kapal kargo berbendera Panama yang dikendalikan syarikat perkapalan Korea Selatan HMM Co., terkena dua objek udara ketika terkandas di selat itu pada 4 Mei, menyebabkan letupan dan kebakaran di atas kapal.
Kerajaan setakat ini belum mengenal pasti objek berkenaan atau pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan itu.
Seorang pegawai kanan kerajaan sebelum ini berkata kemungkinan serangan itu dilancarkan oleh pihak selain Iran adalah “tipis” dan “serangan diplomatik setimpal” diperlukan sebaik pelaku dikenal pasti.
Menurut pegawai itu, serangan berkenaan merupakan insiden ke-33 terhadap kapal awam sejak perang di Asia Barat bermula susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada 28 Feb, manakala Seoul sedang meneliti bagaimana negara lain bertindak balas dalam kes terdahulu.
Pegawai itu turut berkata sebuah agensi khusus di bawah kementerian pertahanan akan menjalankan analisis menyeluruh terhadap serpihan itu bagi menentukan butiran serangan.
Analisis itu dijangka dijalankan oleh Agensi Pembangunan Pertahanan, institut penyelidikan pertahanan milik kerajaan.
-- BERNAMA-YONHAP