Skip to main content

Dunia

Setiausaha Agung PBB sambut baik gencatan senjata baharu Lubnan-Israel

United Nations Secretary-General Antonio Guterres speaks during a United Nations Security Council meeting, after the U.S. and Israel launched strikes on Iran, at the U.N. headquarters in New York City, U.S. February 28, 2026. REUTERS/Heather Khalifa
Guterres menegaskan semula sokongan PBB terhadap semua usaha untuk menamatkan permusuhan dan mengurangkan penderitaan komuniti di kedua-dua belah Garis Biru. - Gambar fail

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyambut baik pengumuman gencatan senjata susulan mesyuarat tiga pihak peringkat tinggi kali keempat di Washington yang melibatkan wakil Israel dan Lubnan, kata jurucakap beliau pada Khamis, lapor Xinhua.

Guterres menegaskan semula sokongan PBB terhadap semua usaha untuk menamatkan permusuhan dan mengurangkan penderitaan komuniti di kedua-dua belah Garis Biru, iaitu garisan persempadanan antara Lubnan dan Israel yang ditetapkan badan dunia itu pada 2000, menurut kenyataan jurucakapnya Stephane Dujarric.

“Beliau (Guterres) menggesa semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya penghentian permusuhan, menghentikan sebarang serangan lanjut dan memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa pada setiap masa,” menurut kenyataan itu.

Guterres turut mengulangi gesaannya supaya Hezbollah dan kumpulan lain mematuhi keputusan kerajaan Lubnan untuk memperluas kuasanya ke seluruh wilayah negara itu serta memperkukuh kawalan eksklusif negara terhadap senjata.

Beliau juga menggesa Israel berundur sepenuhnya dari kawasan utara Garis Biru dengan menghormati sepenuhnya kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan, menurut kenyataan itu.

PBB komited untuk menyokong semua usaha diplomatik bagi memperkukuh penghentian permusuhan serta pelaksanaan penuh Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB yang bertujuan menyelesaikan perang Israel-Hizbullah pada 2006, menurut kenyataan itu.

Setiausaha Agung itu berharap rundingan akan diteruskan dan perjanjian gencatan senjata berkenaan dapat menyumbang kepada keamanan serta kestabilan yang berkekalan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement