MATA besar, berbentuk comel, serta mampu menukar warna.

Ia juga gemar membenamkan tubuhnya dalam pasir jika sedang bersembunyi di dasar lautan.

Makhluk ini sekali pandang seperti mainan anak kecil yang dilupakan, namun si mata besar ini sebenarnya hidupan marin yang pernah menjadi viral di seluruh dunia sekitar dua tahun lalu.

Saiz matanya yang besar merupakan antara ciri utama yang menjadi perhatian umum, hinggakan ramai yang mengatakan itu adalah ciri haiwan peliharaan yang disukai - sama seperti mereka yang suka melihat kucing atau anjing mereka sedemikian rupa.

Rossia pacifia atau dikenali sebagai 'Stubby Squid' sebenarnya adalah antara spesies sotong katak dengan ciri fizikal menunjukkan kelainan berbanding kumpulannya yang lain.

(TRIVIA: Alam: Animalia, Filum: Mollusca, Kelas: Cephalopoda, Order: Sepiida, Famili: Sepiolidae, Subfamili: Rossiinae, Genus: Rossia, Spesies: R. pacifica)


Saiz dewasa badan haiwan ini hanya berukuran 5 hingga 6 sentimeter panjang, dan saiz sotong betina lebih besar daripada sotong jantan.

Haiwan ini habitatnya adalah pada kedalaman 300 hingga 1,300 meter dalam paras laut dan berasal dari Lautan Pasifik Utara.

Hidupan yang aktif pada waktu malam ini juga suka berada di lantai laut dan bergerak menggunakan sirip sisinya atau menembakkan air dari rongga tubuhnya.

Apabila diganggu, ia akan mengelirukan musuh dengan memancutkan dakwat hitam lalu melarikan diri.

Jangka hayat haiwan ini hanya bertempoh dua tahun bermula dari waktu di dalam telur dan mati apabila pembiakan dilakukan.

Telur yang diletakkan di bawah dan akan menetas selepas tempoh 5-9 bulan.

Sotong betina akan bertelur di kawasan tersembunyi seperti di bawah batu dan akan mati selepas bertelur.

Telur-telur ini mempunyai bahagian luaran yang keras sebagai pelindung dan menetas selepas 5 hingga 9 bulan dan mereka akan memakan hidupan lautan dalam yang lebih kecil seperti udang.

Ramai penyelam skuba dari seluruh dunia telah berkongsi penemuan mereka ini menerusi YouTube: