SUSULAN kematian Presiden Iran, Ebrahim Raisi akibat helikopter dinaikinya terhempas, tumpuan beralih kepada Naib Presidennya, Mohammad Mokhber iaitu individu seterusnya dalam kepimpinan Presiden.

Menurut Perlembagaan Iran, dalam kes kematian atau ketidakupayaan Presiden, Naib Presiden pertama akan mengambil alih fungsi Presiden sehingga pilihan raya diadakan dalam tempoh tidak lebih 50 hari.

Tidak seperti negara lain, Naib Presiden Pertama Iran adalah jawatan yang dilantik, bukan yang dipilih.

Naib Presiden mengambil alih beberapa kuasa Perdana Menteri selepas jawatan itu dimansuhkan pada 1989.

Terdapat beberapa Naib Presiden yang dilantik untuk berkhidmat secara serentak di Iran - mereka kebanyakannya berfungsi sebagai ahli Kabinet.

Tetapi, jawatan yang dipegang oleh Mokhber dianggap yang pertama dalam kalangan rakan setaraf.

Raisi melantik Mokhber sebagai Naib Presiden pertamanya pada Ogos 2021, sejurus selepas memegang jawatan.

Beliau adalah orang ketujuh berkhidmat dalam jawatan itu sejak semakan perlembagaan.

[LAPOR LANGSUNG] Helikopter terhempas: Ebrahim Raisi, semua penumpang maut

Sebelum pelantikannya sebagai Naib Presiden, Mokhber berkhidmat selama 14 tahun sebagai ketua Setad Iran, sebuah konglomerat ekonomi yang kuat, kebanyakannya tertumpu kepada tujuan amal.

Organisasi itu, yang berada di bawah kawalan langsung pemimpin tertinggi Iran, dianggarkan bernilai puluhan bilion dolar.

Di bawah pengawasan Mokhber, Setad membangunkan vaksin coronavirus Iran, Coviran Barekat, pada kemuncak wabak COVID-19.