Kerajaan menggesa Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) berperanan sebagai sebuah pertubuhan yang dinamik dan progresif dalam mengambil tindakan bagi menangani ancaman dan cabaran semasa di peringkat serantau dan antarabangsa.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, antara ancaman dan cabaran yang perlu di depani secara serius oleh NAM adalah isu-isu Palestin, keganasan, kelembapan ekonomi global, perubahan iklim serta isu kedaulatan dan keutuhan wilayah Negara-Negara Anggota NAM.

"Malaysia juga mengusulkan supaya NAM menerima pakai pendekatan kesederhanaan yang dipelopori oleh Gerakan Kesederhanaan Global dalam penyelesaian sebarang konflik serta menangani cabaran pembangunan ekonomi dan sosial.

"Berdasarkan pengalaman Malaysia, pendekatan kesederhanaan telah mendatangkan hasil positif dari segi rundingan penyelesaian beberapa konflik di rantau Asia Tenggara. Kita juga menggesa negara-negara anggota untuk memperkukuh kesepaduan sesama kita," katanya.

Reezal berkata demikian semasa berucap pada sesi Debat Umum pada hari terakhir Sidang Kemuncak NAM Ke-17, dengan tema 'Keamanan, Kedaulatan dan Kesepaduan bagi Pembangunan' di Venezuela.

Sidang Kemuncak NAM yang diadakan setiap tiga tahun sekali merupakan forum di mana wakil-wakil daripada 120 Negara Anggota NAM berbincang dan menilai pelaksanaan keputusan yang telah dipersetujui semasa Sidang Kemuncak NAM Ke-16 yang diadakan di Tehran, Iran pada bulan Ogos 2012.

Jelas Reezal, sidang berkenaan turut menggubal maklum balas terhadap isu-isu serantau dan antarabangsa semasa, khususnya dalam bidang politik, keselamatan dan pembangunan.

"Pandangan positif kita juga telah disambut baik oleh NAM," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, persidangan itu turut memberi peluang kepada kerajaan untuk mengadakan pertemuan dalam kalangan negara anggota NAM untuk bertukar-tukar pandangan berhubung isu-isu bilateral, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

BACA: Sidang Kemuncak NAM: Penyertaan Malaysia sahkan komitmen negara - Reezal

Sebelum ini Reezal menjelaskan, Kerajaan tidak pernah mengetepikan penekanan komitmen dan inisiatif negara ke arah memperkasakan NAM.