MANILA: Dewan Perwakilan Filipina pada Isnin berjaya memperoleh jumlah undi yang diperlukan untuk mendakwa Naib Presiden Filipina Sara Duterte. Artikel pendakwaan akan dihantar ke Senat untuk perbicaraan, lapor Xinhua.
Ahli Dewan mengundi dengan 255 menyokong, 26 menentang dan sembilan berkecuali. Undian menyokong melepasi ambang perlembagaan iaitu sekurang-kurangnya satu pertiga daripada Ahli Dewan atau 106 undi.
Artikel pendakwaan itu mendakwa Sara terbabit dalam rasuah, plot pembunuhan, menghasut pemberontakan, serta salah guna kuasa, antara lainnya dan akan dibawa ke peringkat Senat untuk perbicaraan.
Di bawah Perlembagaan Filipina, Senat mempunyai kuasa mutlak untuk membicarakan dan memutuskan kes pendakwaan. Jika lebih daripada dua pertiga senator mengundi menyokong pendakwaan itu, beliau akan disabitkan kesalahan, dilucutkan jawatan, serta dilarang daripada memegang jawatan awam seumur hidup.
Sara tidak hadir semasa undian plenari dijalankan. Media tempatan melaporkan Pejabat Presiden Filipina meluluskan permohonan beliau untuk lawatan ke luar negara dari 2 Mei hingga 15 Mei. Awal bulan ini, beliau berlepas ke The Hague, Belanda dan melawat bapanya, Rodrigo Duterte, yang berada dalam tahanan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
-- BERNAMA-XINHUA