Skip to main content

Dunia

Siklon Maila ragut 11 nyawa di Papua New Guinea

Taufan Maila yang melanda Papua New Guinea ragut 11 nyawa. /Foto REUTERS
Ramai penduduk hilang tempat tinggal akibat bencana alam itu, manakala jalan raya dan jambatan turut musnah, sekali gus menjejaskan bekalan makanan. - Gambar/ Reuters

SYDNEY: Siklon Maila mencetuskan kejadian banjir dan tanah runtuh di Papua New Guinea, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 nyawa, dengan wilayah autonomi Bougainville antara kawasan yang paling teruk terjejas, menurut pegawai dan media tempatan pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ribut itu membadai kawasan pesisir sehingga memusnahkan seluruh kampung pada Khamis.

Advertisement

Lapan orang maut dalam kejadian tanah runtuh pada waktu malam apabila sebuah rumah tertimbus, menurut akhbar Post Courier memetik pihak berkuasa.

Penyiar awam Papua New Guinea, NBC, melaporkan anggaran awal menunjukkan lebih 10,000 orang terjejas, manakala hampir 20,000 lagi memerlukan bantuan segera di seluruh Bougainville.

Penduduk memberitahu penyiar Australia, ABC, bahawa mangsa yang terkorban termasuk kanak-kanak dan dua wanita hamil.

Ramai penduduk hilang tempat tinggal, manakala jalan raya dan jambatan turut musnah, sekali gus menjejaskan bekalan makanan.

Sekolah dijangka terus ditutup sepanjang minggu ini.

Perdana Menteri James Marape berkata usaha untuk sampai ke komuniti terpencil masih berdepan kesukaran, ketika laporan kerosakan terus diterima.

“Kami akan memastikan bantuan sampai ke setiap tempat, setiap pulau dan setiap komuniti yang terjejas,” katanya.

Beliau juga berkata penghantaran bantuan termasuk makanan, air minuman dan perlindungan kecemasan telah diatur.

Kepulauan Solomon turut dilanda ribut, dengan kawasan pulau terpencil itu mengalami kerosakan ketara.

Australia berjanji menyalurkan bantuan kewangan kepada kedua-dua negara, dengan Menteri Luarnya Penny Wong berkata Australia bersama-sama negara jirannya.

Maila bergerak merentasi Laut Solomon dengan tiupan angin mencecah hampir 300 kilometer sejam dan diklasifikasikan sebagai siklon Kategori 5 sebelum menjadi lemah.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video